Mohamed Usuf pangku jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR – Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad kini memangku jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini, mengambil alih tugas daripada Datuk Rusdi Mohd. Isa.
Rusdi, yang baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menyerahkan tugas tersebut dalam satu majlis serah terima yang disaksikan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam satu perhimpunan khas sebelum majlis serah tugas, Rusdi memuji tahap disiplin anggota Polis Kuala Lumpur sepanjang kepimpinannya.
“Saya dapati tahap disiplin keseluruhan anggota polis Kuala Lumpur berada pada tahap yang memuaskan. Oleh itu, saya menyeru semua anggota untuk terus mengekalkan tahap disiplin ini,” katanya.
Beliau juga berharap agar pasukan Polis Kuala Lumpur terus cemerlang dan mengekalkan profesionalisme tertinggi dalam menjaga keselamatan masyarakat.
“Justeru, saya mengajak semua untuk terus bekerjasama dalam menjayakan usaha kita bersama dan memastikan Polis Kuala Lumpur mencapai matlamat serta terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” tambahnya.
Rusdi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Polis Kuala Lumpur atas kerjasama yang diberikan, yang turut mengharumkan nama pasukan melalui pencapaian cemerlang.
Mengenai statistik jenayah, Rusdi melaporkan tempoh Januari hingga Jun 2024 menunjukkan penurunan sebanyak 28 peratus dalam indeks jenayah berbanding tahun sebelumnya, iaitu pengurangan sebanyak 1,151 kes.
“Jenayah kekerasan mencatat penurunan sebanyak 29 peratus, daripada 790 kes pada 2024 kepada 563 kes pada 2025 manakala jenayah harta benda merekodkan pengurangan 27 peratus, daripada 3,377 kes kepada 2,453 kes,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








