Warga emas gelandangan diselamatkan selepas dua hari jatuh perigi
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki gelandangan warga emas yang terjatuh ke dalam sebuah perigi di Jalan Telok Air Tawar, Butterworth, di sini berjaya diselamatkan orang awam selepas dipercayai berada di dalamnya selama dua hari.
Mangsa berusia 63 tahun itu dipercayai terjatuh ke dalam perigi sedalam kira-kira lima meter ketika cuba mandi di kawasan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 5.29 petang semalam sebelum anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dikerahkan ke lokasi.
Menurut beliau, operasi menyelamat dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth yang diketuai Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan I, Mohd Nasir Idris.
“Bagaimanapun, mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian. Mangsa mengalami kecederaan ringan serta keletihan.
“Dia juga bernasib baik kerana paras air di dalam perigi ketika itu hanya berada pada paras dada,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Mangsa kemudian diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk rawatan lanjut.
Operasi dilaporkan tamat sepenuhnya pada pukul 6.33 petang semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








