Anwar ajak rakyat kongsi pandangan menerusi avatar AI
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim orang ramai khususnya golongan muda supaya berkongsi pandangan, kebimbangan dan aspirasi mereka secara langsung menerusi avatarnya bagi memastikan pembangunan negara terus berpaksikan suara serta kehendak rakyat.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook hari ini berkata, beliau mahu terus mendengar serta merealisasikan harapan golongan muda, pengorbanan ibu bapa, warga emas dan suara rakyat yang mengimpikan masa depan yang lebih baik.
“Saya amat berharap anda dapat berkongsi pandangan, kebimbangan dan aspirasi secara langsung melalui avatar ini kerana saya yakin negara hanya akan menjadi lebih baik jika dibina berasaskan suara dan kehendak rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia dibangunkan hasil cita-cita, nilai dan kekuatan rakyat daripada pelbagai kaum serta budaya, sambil mengajak seluruh rakyat menyertai usaha mewujudkan wacana baharu demi negara dan rakyat.
Dalam hantaran sama, beliau turut memuat naik video kecerdasan buatan (AI) berdurasi dua minit 33 saat yang menampilkan avatar Anwar, iaitu versi digital dirinya yang bersedia mendengar, membantu dan berkhidmat kepada rakyat.
“Ini ialah avatar saya, kembar digital yang diilhamkan daripada nilai dan visi saya. Satu cara baharu untuk kita berhubung, berkongsi pandangan dan meneroka idea. Masa depan tidak menunggu. Marilah kita membinanya dengan ilmu, integriti dan kerja keras, demi rakyat, demi Malaysia MADANI,” katanya.
Orang ramai boleh menghubungi avatar tersebut menerusi talian 03-7885 0523.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















