PMX

Kerajaan perkasa wakaf dakwah, manfaat teknologi baharu dalam penyebaran Islam – PM

KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh institusi wakaf sebagai instrumen pembangunan dakwah yang lebih tersusun, berkesan dan mampan akan diperkasakan kerajaan menerusi inisiatif Wakaf Dakwah yang bakal dibincangkan bersama beberapa kementerian berkaitan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan itu akan dilaksanakan sebelum cadangan berkenaan dibawa ke Jemaah Menteri dan seterusnya dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Menurut beliau, inisiatif tersebut juga bertujuan memperkukuh peranan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) sebagai wadah penyebaran dakwah Islam yang sederhana, inklusif serta berteraskan hikmah.

“Saya sudah minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan untuk memulakan perbincangan bersama PERKIM dan pihak berkaitan.

“Selepas melalui proses ditetapkan, perkara ini akan dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu sebagaimana ketetapan sedia ada berkaitan hal ehwal wakaf,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Turut hadir Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Yang Dipertua PERKIM.

Anwar berkata, pendekatan dakwah pada masa kini perlu lebih canggih dan bersesuaian dengan cabaran semasa, termasuk menangani gejala Islamofobia serta persepsi negatif terhadap Islam yang masih wujud di peringkat global.

“Cabaran hari ini bukan lagi soal penjajahan fizikal, tetapi penjajahan pemikiran.

“Sebab itu dakwah perlu disampaikan dengan penuh hikmah, menggunakan pendekatan yang bijaksana dan memanfaatkan teknologi semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan institusi wakaf dan dakwah perlu menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan pengkomputeran kuantum bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam arus perubahan global.

Bagaimanapun, katanya, kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan nilai keimanan, akhlak dan jati diri agar pembangunan yang dicapai tidak mengorbankan identiti bangsa.

“Saya sering menyebut, kita perlu ‘menggapai di langit dan mengakar di bumi’. Menggapai di langit bermaksud menguasai teknologi baharu, manakala mengakar di bumi ialah memastikan kita kekal berpaksikan akidah, akhlak, budaya dan sejarah bangsa.

“Jika kita hanya mengejar teknologi tanpa nilai kemanusiaan, kita akan kehilangan arah. Sebab itu, kemerdekaan perlu dimaknakan dengan membina sebuah negara maju yang tetap berteraskan nilai dan identiti sendiri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button