BERITA SEMASA

Kerajaan kekal pendirian tidak ekstradisi Zakir Naik ke India

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia kekal dengan keputusan untuk tidak mengekstradisi pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik ke India dan tidak memberikan sebarang komitmen untuk menyerahkan beliau kepada negara berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hak Malaysia di bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi antara Malaysia dan India yang ditandatangani pada 2010 serta peruntukan Akta Ekstradisi 1992.

Beliau berkata, kerajaan setakat ini juga belum menerima sebarang permohonan ekstradisi baharu daripada India berhubung pendakwah terbabit.

Menurutnya, permohonan rasmi ekstradisi daripada kerajaan India sebelum ini diterima pada 19 Januari 2018, manakala nota diplomatik yang meminta pertimbangan semula diterima pada 29 Mei 2020.

“Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India. Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen..

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan mengenai status terkini permohonan ekstradisi Zakir oleh kerajaan India, termasuk tarikh permohonan rasmi terakhir diterima.

Ahmad Marzuk turut meminta penjelasan sama ada dokumen dan keterangan dikemukakan India memenuhi kehendak Akta Ekstradisi 1992 serta perjanjian ekstradisi antara kedua-dua negara.

Isu berkenaan kembali menjadi perhatian pada September lalu apabila kerajaan digesa memperjelaskan status perundangan dan diplomatik berhubung permohonan ekstradisi itu susulan perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini turut menggesa Anwar memperincikan perkara yang dibincangkan serta sebarang persefahaman dicapai dalam pertemuan kedua-dua pemimpin.

Laporan media India sebelum ini menyebut isu ekstradisi Zakir, yang berdepan dakwaan pengubahan wang haram dan ucapan berunsur kebencian di negara asalnya, antara perkara yang dibincangkan dalam rundingan berkenaan.

Bagaimanapun, pendirian kerajaan Malaysia setakat ini kekal bahawa Zakir tidak akan diekstradisi ke India.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button