Lelaki Bangladesh maut motosikal dilanggar lori dari belakang
TELUK INTAN – Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas motosikal yang ditungganginya bersama seorang rakan senegara dilanggar sebuah lori dari belakang ketika hendak membelok memasuki simpang di Kilometer 19, Jalan Teluk Intan-Bidor, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asistan Komisioner Chua Kok Lian berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Pusat Kawalan Daerah kira-kira pukul 11.50 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori dan motosikal berkenaan bergerak dari arah Bidor menghala ke Teluk Intan.
“Setibanya di lokasi kejadian, lori yang dipandu seorang lelaki tempatan dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal dinaiki dua lelaki warga Bangladesh ketika motosikal itu sedang membelok ke kanan untuk memasuki simpang.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng dilaporkan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Pemeriksaan lanjut mendapati penunggang motosikal tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal berkenaan telah tamat tempoh.
“Pemandu lori telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan dan sampel darahnya turut diambil untuk ujian toksikologi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, termasuk mengesan pembonceng motosikal yang meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syamil Abd Manan, menerusi talian 05-6299056 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














