PGSM sokong pindaan Akta 333, sifatkan mekanisme pampasan mangsa kemalangan selari prinsip syariah
KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong penuh terhadap keputusan jemaah menteri untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa kemalangan jalan raya.
Presiden PGSM, Musa Awang berkata, langkah itu merupakan satu perkembangan positif yang tepat pada masanya serta mencerminkan pelaksanaan prinsip berasaskan syariah yang mengutamakan kemaslahatan rakyat.
Menurut beliau, keputusan tersebut bertepatan dengan kaedah fiqh “Tasarruf al-imam ‘ala al-ra’iyyah manutun bil-maslahah” yang membawa maksud tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah berasaskan kemaslahatan.
“Undang-undang ini bukan sahaja dapat memberikan keadilan yang lebih pantas kepada mangsa atau keluarga mangsa tanpa perlu melalui proses sivil yang panjang, malah mampu menjadi pengajaran serta pencegahan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, peningkatan kes kemalangan melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah serta aktiviti lumba haram yang mengorbankan nyawa dan menyebabkan kecederaan serius menuntut kepada penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas.
Dalam pada itu katanya, cadangan itu juga selari dengan usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang diterajui Senator Dr Zulkifli Hasan dalam meneliti pelaksanaan mekanisme pampasan berasaskan syariah bersama barisan mufti dan pakar perundangan sejak Februari lalu.
Menurut Musa, dari sudut syariah, pemerintah mempunyai kuasa menggubal undang-undang berkaitan pentadbiran dan keselamatan awam selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah serta bertujuan menjaga kepentingan rakyat.
Beliau berkata, pindaan Akta 333 juga selaras dengan maqasid syariah, khususnya prinsip Hifz al-Nafs (memelihara nyawa), kerana bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya, mengurangkan kadar kemalangan, melindungi nyawa melalui hukuman yang adil serta mengurangkan beban yang ditanggung mangsa dan keluarga mereka.
Tambahnya, prinsip syariah seperti Dhaman iaitu tanggungan membayar ganti rugi akibat kecuaian, selain konsep Diyah dan Arsy dalam kes kematian atau kecederaan, boleh dijadikan asas dalam penggubalan pindaan undang-undang tersebut.
Sehubungan itu, Musa berkata, pihaknya bersedia untuk menyumbangkan kepakaran bagi membantu kerajaan memastikan penggubalan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dapat dilaksanakan dengan berkesan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















