BERITA SEMASA

Apa masalahnya kami bertanding dalam PRN Melaka? – Afdlin Shauki persoal Onn Hafiz

KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan mempersoal kenyataan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mendakwa penyertaan parti tertentu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai tindakan membuang masa dan membazir wang.

Dalam satu kenyataan Afdlin turut membangkitkan persoalan mengenai wang yang dimaksudkan oleh Onn Hafiz, sama ada wang Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) yang digunakan sepanjang kempen pilihan raya.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan pembaziran masa kerana menurutnya, pilihan raya tetap perlu berlangsung apabila tiba tempohnya, tanpa mengira sama ada pihak tertentu memilih untuk bertanding atau sebaliknya.

“Jadi, apabila ruang demokrasi itu dibuka, kami masuk bertanding. Apa masalahnya?” katanya.

Afdlin berkata, pihaknya mengakui dan menghormati kekuatan BN yang mempunyai pengaruh serta akar umbi di Melaka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kekuatan sesebuah parti tidak bermakna kemenangan atau kerusi yang ditandingi menjadi hak kekal mana-mana pihak kerana mandat tetap terletak di tangan rakyat.

Beliau turut mengimbas sejarah apabila Perikatan dan BN mentadbir negara selama lebih enam dekad sebelum rakyat membuat pilihan berbeza pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

” Itulah demokrasi. Tiada kemenangan yang terjamin, dan tiada kerusi yang menjadi hak kekal sesiapa.

“Kami masuk untuk menawarkan pilihan dan berusaha mendapatkan kepercayaan rakyat. Kalau rakyat menolak, kami terima. Tetapi biarlah rakyat yang menentukan sama ada usaha kami berbaloi,” katanya.

Sementara itu Afdlin menegaskan bahawa setiap pihak berhak mencuba dalam ruang demokrasi sambil mengingatkan supaya tidak bersikap sombong.

“Tak salah mencuba, betul tak, Datuk Onn Hafiz? Jangan bongkak tuk. Orang sombong selalu rugi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button