BERITA SEMASA

Pendirian isu Gaza, keupayaan digital jadikan Malaysia sasaran serangan siber

KUALA LUMPUR – Malaysia adalah antara negara yang dianggap sebagai sasaran berpotensi serangan siber.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun tidak semua maklumat boleh didedahkan, keupayaan digital negara serta pendiriannya dalam isu-isu antarabangsa tertentu, khususnya berkaitan Gaza, menjadikan Malaysia sebagai sasaran berpotensi.

“Malaysia sememangnya antara yang dianggap sebagai sasaran,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang bertanyakan sama ada Malaysia dianggap sebagai sasaran berdasarkan risikan sedia ada serta tahap ancaman berkenaan.

Terdahulu, Anwar berkata kerajaan mengambil maklum langkah beberapa negara, termasuk Kesatuan Eropah, Kanada dan Jepun, yang menasihatkan rakyat masing-masing supaya menyimpan stok makanan.

Beliau merujuk kepada situasi antarabangsa yang tidak menentu susulan serangan siber di luar negara yang melumpuhkan portal cukai kebangsaan Belgium, menjejaskan rekod identiti hampir sembilan juta rakyat Denmark, mengganggu sistem pemfailan Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan Amerika Syarikat selama 41 jam, serta mendedahkan rekod peribadi lebih 100,000 anggota polis Jepun.

Anwar berkata kerajaan turut memantau perkembangan yang melibatkan konflik Timur Tengah, Yaman dan Laut Merah.

Anwar seterusnya memberitahu, beliau mencadangkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin supaya menyampaikan taklimat khas secara tertutup kepada semua Ahli Parlimen dalam tempoh sehari dua ini.

“Saya percaya perkara ini amat penting kerana, berdasarkan maklumat yang diperoleh petang semalam dan pagi ini, termasuk daripada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), kita tidak boleh memandang ringan mengenainya.

“Saya memohon kerjasama semua ahli parlimen, daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, untuk memberi ruang kepada MKN dalam sehari dua ini bagi memberi taklimat mengenai perkembangan terkini,” katanya lagi.

Anwar turut memberitahu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan mempengerusikan mesyuarat bersama semua jabatan berkaitan petang ini manakala Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour akan mengadakan sesi khas bersama institusi-institusi kewangan.

Tambahnya, satu mesyuarat khas MKN telah diadakan semalam bagi meneliti implikasi perkembangan tersebut, dengan tumpuan terarah kepada serangan siber digital dan hibrid, kemungkinan kesan luruhan nuklear daripada ancaman terhadap negara-negara Teluk, khususnya Iran, serta kesan perkembangan politik Eropah terhadap sistem pentadbiran.

Anwar menggariskan lima langkah bagi mendepani ancaman berkenaan, termasuk memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi, meningkatkan tahap kesiapsiagaan terhadap ancaman dalam dan luar negara, serta mempertingkatkan perlindungan terhadap infrastruktur dan sektor strategik.

Dua lagi langkah melibatkan peningkatan kesiapsiagaan orang awam dan komuniti, serta memperkukuh keupayaan agensi dan pemanfaatan teknologi bagi melindungi negara daripada serangan siber.

Mengenai kesiapsiagaan awam, Anwar berkata, pihak MKN telah menasihati beliau untuk mengeluarkan kenyataan tersebut bagi mengingatkan Ahli-ahli Parlimen dan orang ramai bahawa ancaman berkenaan bukanlah sesuatu yang dianggap remeh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button