BERITA SEMASA

MA63 kini Waad Nasional – Anwar

KUALA LUMPUR – Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kini diangkat sebagai sebahagian daripada Waad Nasional, iaitu tanggungjawab bersama yang wajib dilaksana dan dijawab secara menyeluruh di peringkat Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Sei Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI meningkatkan kadar interim Pemberian Khas sebanyak tiga kali ganda kepada RM1.5 bilion yang akan dilunaskan sebelum penghujung tahun ini, sementara rundingan diteruskan bagi memuktamadkan formula tahunan yang adil serta mampan bagi Sabah dan Sarawak.

Beliau turut berkata, sebanyak 12 perkara di bawah tuntutan MA63 telah berjaya dimuktamadkan setakat ini.

“Antara pencapaian utama termasuk pelantikan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak, serta penyerahan MASWings kepada Sarawak untuk dijenamakan sebagai AirBorneo.

“Bagi menyokong perkhidmatan penerbangan itu, Kerajaan Persekutuan kekal menyediakan subsidi RM209 juta yang memberi manfaat kepada 820,000 penumpang di kawasan pedalaman,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut memberitahu, peruntukan Persekutuan untuk Sabah dan Sarawak pada 2027 kekal yang tertinggi dalam sejarah, dengan Sabah menerima RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion tahun ini, manakala Sarawak diperuntukkan RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion sebelumnya.

“Sementara itu, bagi pembangunan modal insan, tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak digandakan, sekali gus membuka peluang kepada 4,200 pelajar setiap tahun untuk melanjutkan pengajian ke IPT,” katanya lagi.

Kerajaan Persekutuan juga memulakan rundingan rasmi bagi memuktamadkan kerangka insentif, pusat pemudah cara pelaburan sehenti dan keperluan infrastruktur strategik bagi Zon Ekonomi Khas Sibu.

Dari segi kestabilan bekalan tenaga di Sabah, sebanyak RM204 juta diperuntukkan bagi pemasangan Sistem Statcom di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud, selain meneruskan projek Talian Penghantaran Southern Link.

Bagi projek infrastruktur jalan raya, sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan pada 2027. Ini merangkumi pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) Lebuhraya Trans Borneo bagi seksyen Miri, manakala seksyen Limbang dan Lawas dijangka menyusul hujung tahun ini.

Projek Sarawak-Sabah Link Road 1 dan Pan Borneo Sabah Fasa 1B disasarkan siap hujung tahun depan, sementara RM350 juta peruntukan penyelenggaraan jalan Persekutuan dikhususkan kepada kontraktor tempatan gred G1 hingga G4 di kedua-dua negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button