BERITA SEMASAMALAYSIA MADANI

Projek Kota MADANI mercu tanda baharu perumahan penjawat awam – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Projek Kota MADANI, di Presint 19, di sini, sebagai satu lagi pembangunan bersepadu berskala besar yang bakal menjadi mercu tanda baharu perumahan moden penjawat awam dan pembangunan bandar pintar.

Projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 102.5 ekar itu melibatkan pelaburan dianggarkan bernilai RM4 bilion dan dijangka mampu menyediakan 10,000 unit kediaman kuarters bagi menampung kira-kira 35,000 penghuni.

Inisiatif itu merupakan langkah strategik kerajaan dalam mengatasi kekurangan unit kuarters bagi penjawat awam di pusat pentadbiran negara, selain menyokong agenda Malaysia MADANI dalam aspek kebajikan, keterangkuman dan kesejahteraan komuniti.

“Kita tidak mahu hanya membina bangunan tetapi membina kehidupan yang lengkap dengan kebajikan, nilai dan harapan,” katanya dalam ucapan perasmian.

Projek Kota MADANI akan dibangunkan secara berfasa oleh Putrajaya Holdings Sdn. Bhd., dengan pelaksanaan dimulakan melalui Fasa 1A melibatkan pembinaan hampir 3,000 unit kediaman yang dijangka siap pada 2027.

Fasa 1B pula merangkumi pembinaan kemudahan pendidikan termasuk sebuah sekolah bertingkat yang dijadualkan siap pada tahun 2028.

Keseluruhan projek Kota MADANI dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh tujuh tahun, menjadikannya antara pembangunan berskala besar paling signifikan di Putrajaya dalam dekad ini.

Selain itu, Kota MADANI juga menampilkan kemudahan awam lengkap seperti rumah warga emas, klinik kesihatan, institusi TVET, institusi kewangan, balai bomba, balai polis dan sebuah masjid, reka bentuk menyeluruh itu menekankan keselesaan, keselamatan dan integrasi sosial.

Dari aspek gaya hidup dan ekonomi, projek itu turut menyediakan ruang komersial seperti kafe, pejabat, pusat penjaja, medan selera dan perkhidmatan perbankan bagi menyokong kejiranan yang aktif dan berdaya saing.

Sebagai bandar pintar, ia bakal dilengkapi teknologi moden seperti lampu isyarat pintar, sistem sisa automatik, laluan solar, CCTV keselamatan, butang kecemasan, perpustakaan digital dan sistem mobiliti pintar seperti Bus on Demand dan mikromobiliti kongsi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button