AGAMABERITA SEMASA

Visa haji palsu: TH sahkan tiada rakyat Malaysia terlibat

MEKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan setakat ini tiada laporan membabitkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tawaran visa haji palsu atau cuba menunaikan ibadah haji tanpa kebenaran rasmi pihak berkuasa Arab Saudi.

Ketua Rombongan Haji, Mohd Hisham Harun berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap individu yang terdesak mahu menunaikan haji dengan menawarkan pakej tidak sah menjelang Hari Wukuf.

Menurut beliau, Kerajaan Arab Saudi telah memberi peringatan tegas bahawa hanya pemegang visa haji yang sah dibenarkan memasuki Mekah termasuk kawasan Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Sesiapa yang ditangkap dan didapati bersalah akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang Arab Saudi.

“Tindakan sedemikian juga boleh menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Hanya mereka yang mempunyai visa haji sah dibenarkan berada di Tanah Haram dan mengerjakan haji. Jadi ingat, tiada visa, tiada haji,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar operasi haji, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata seramai 22,711 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci menerusi 74 penerbangan setakat ini.

Katanya, semua jemaah kini sedang berkumpul di Mekah bagi menantikan kemuncak ibadah haji iaitu Hari Wukuf yang dijangka berlangsung kurang 15 hari lagi.

Menurut beliau, persiapan di kawasan Masya’ir juga hampir siap sepenuhnya dan pengurusan Tabung Haji akan melakukan lawatan ke tapak perkhemahan dalam masa terdekat bagi menyelaras persediaan akhir menjelang Hari Wukuf pada 26 Mei ini.

Dalam pada itu, Mohd. Hisham turut mengingatkan jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan berikutan cuaca di Tanah Suci dijangka semakin panas menjelang kemuncak haji.

“Jemaah dinasihatkan minum air secukupnya, menggunakan payung ketika berada di luar bangunan penginapan semasa cuaca panas serta mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan risiko tekanan haba.

“Kita juga sentiasa mengingatkan jemaah supaya fokus kepada ibadah, menyimpan tenaga dan mengekalkan tahap kesihatan yang baik kerana misi utama adalah untuk berwukuf,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button