Lelaki 23 tahun ditahan bersama lapan botol air ketum
RANAU – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki aktif menjalankan kegiatan jualan air ketum di belakang sebuah rumah di Kampung Kinapulidan, malam tadi.
Dalam serbuan pada pukul 10 malam itu, pihak polis turut merampas lapan botol air ketum serta puluhan paket serbuk ketum yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM3,940.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, suspek yang berusia 23 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) bersama Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Menurutnya, pemeriksaan tersebut dijalankan hasil maklumat orang awam serta risikan awal yang dilakukan oleh pihak polis.
“Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan menemukan sebuah bekas polisterin mengandungi lapan botol air mineral 1.5 liter berisi air ketum.
“Turut dirampas dua bungkusan plastik mengandungi serbuk ketum membabitkan 37 paket seberat satu kilogram setiap satu,” katanya memetik BuletinTV3.
Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJN IPD Ranau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Mursalin berkata, polis akan terus mempergiat usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran bahan terlarang, termasuk air ketum, di daerah itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa mengekang kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














