BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

TDM tumpas penyeludupan ketum di sempadan Thailand

KUALA NERANG – Pasukan operasi Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup daun ketum di sempadan Malaysia–Thailand dalam satu operasi khas, kelmarin.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataannya berkata,
kejadian berlaku di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) pada pukul 3.30 petang.

Katanya, pasukan operasi berjaya mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diiringi beberapa buah motosikal dalam keadaan mencurigakan ketika melalui kawasan sempadan di sebelah Malaysia.

“Ketika dikejar, sebuah pacuan empat roda dan sebuah motosikal dilaporkan terbalik dipercayai hilang kawalan ketika cuba melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang terlibat menemui sembilan buah guni putih dan 33 plastik hitam berisi daun ketum dengan jumlah keseluruhan 628 kilogram.

“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM18,840.00. Daun ketum itu dipercayai cuba diseludup ke Thailand melalui laluan tidak sah,” katanya lagi.

Menurut TDM, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Nerang, Padang Terap dan semua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selain rampasan daun ketum, pasukan turut menyita sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah motosikal jenis Honda Wave 110i. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM81,340.00,” menurut kenyataan itu lagi.

TDM menegaskan komitmennya untuk terus memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan atau penyeludupan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button