Tektik botol minuman gagal perdaya Maritim Malaysia
KUALA PERLIS – Cubaan menyelindung bubu naga menggunakan botol minuman gagal apabila Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis merampas 160 set peralatan menangkap ikan berkenaan dalam operasi di perairan Kuala Sanglang, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya mengesan objek mencurigakan berbentuk botol minuman terapung di permukaan laut semasa rondaan rutin Operasi AMAN dijalankan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati botol-botol itu adalah penanda kepada 40 set bubu naga yang dipasang di setiap satu daripada empat lokasi berasingan, iaitu pada jarak antara 0.8 hingga 1.2 batu nautika dari barat muara Kuala Sanglang,” jelas beliau dalam kenyataan media.
Tambah beliau, penggunaan botol minuman sebagai penanda lokasi dipercayai menjadi modus operandi terbaharu susulan kaedah lama menggunakan pancang kayu dan pelampung kerap digagalkan oleh pihak berkuasa.
“Mereka menyesuaikan diri dengan tindakan penguatkuasaan dengan menukar strategi, namun usaha tersebut tetap gagal. Kesemua bubu naga ini dianggarkan bernilai hampir RM20,000,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memasang peranti menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Menurut Hashim, penggunaan bubu naga bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah memberi kesan besar terhadap alam sekitar marin dan pendapatan nelayan tempatan.
“Alat ini berpotensi memusnahkan ekosistem dasar laut dan menangkap ikan secara tidak terkawal. Hasil laut akan berkurangan, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional,” tegas beliau.
Beliau menegaskan komitmen Maritim Malaysia untuk terus mempergiat operasi rondaan dan pemantauan bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara.
Maritim Malaysia menyeru orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Kuala Perlis di 04-9851072 / 04-9851162.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








