
Kereta meletup di stesen minyak, polis siasat kemungkinan berkaitan sindiket seludup petrol
KANGAR – Polis sedang menyiasat kemungkinan kejadian sebuah kereta tiba-tiba meletup dan terbakar ketika sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Repoh di sini Jumaat lalu, mempunyai kaitan dengan penyeludupan minyak.
Ini kerana, timbul pelbagai dakwaan susulan penemuan tangki minyak tambahan yang diubah suai di but kereta berkenaan.
Dalam insiden pada pukul 4.10 petang itu, seorang lelaki dalam lingkungan 40-an dan dipercayai pemilik kereta berkenaan, cedera di tangan.
Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, perkara berkenaan masih dalam siasatan polis dan tiada tangkapan dilakukan buat masa ini.
“Perkara itu masih dalam siasatan kita,” katanya ringkas kepada portal Harian Metro, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis, Norazah Jaapar berkata, kejadian kebakaran yang membabitkan kereta di stesen minyak berkenaan diserahkan kepada polis siasatan lanjut.
“Bagaimanapun, kita tetap mengambil perhatian akan kejadian berkenaan di mana susulan kejadian itu, penguat kuasa KPDN Perlis sudah ke tempat kejadian dan mengarahkan pemilik stesen minyak itu mengemukakan dokumen atau maklumat barang kawalan mengikut arahan Seksyen 8 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Dalam masa yang sama juga, satu tindakan kes diambil mengikut Sub Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana didapati melanggar Sub Peraturan 13(2) peraturan yang sama iaitu peruncit gagal menyelenggara buku stok atau tidak mempunyai buku stok,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








