JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki meninggal dunia ketika sertai acara larian

PUTRAJAYA – Seorang lelaki berusia 42 tahun meninggal dunia selepas pengsan ketika menyertai acara larian, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asistan Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya.

Menurutnya, mangsa dibawa menggunakan ambulans swasta ke hospital berkenaan kira-kira pukul 6.52 pagi selepas pengsan ketika menyertai acara larian itu.

“Mangsa diberikan rawatan resusitasi oleh pihak hospital, namun usaha menyelamatkannya gagal sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 6.54 pagi.

“Hasil semakan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata, bedah siasat dijadualkan hari ini di Hospital Putrajaya bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu, kejadian berkenaan turut tular di laman sosial Threads selepas beberapa peserta acara larian sama berkongsi pengalaman mereka terserempak dengan insiden itu di kilometer ke-19.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button