Perkara benar dianggap palsu, perkara salah dipertahankan – PM
KAJANG – Sikap mempertahankan perbuatan salah dan menolak kebenaran termasuk menganggap perbuatan mencuri wang rakyat sebagai sesuatu yang boleh diterima atas alasan kaum, mencerminkan krisis nilai dan akhlak dalam masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu mengingatkannya kepada gambaran zaman edan oleh pujangga Jawa, Ronggowarsito yang menggambarkan zaman ketika pertimbangan masyarakat terhadap baik dan buruk seolah-olah terbalik.
“Orang yang melakukan kebaikan, melaksanakan program yang baik, dihina dan diketepikan. Sebaliknya, orang yang mencuri harta rakyat dan melakukan kezaliman dipuja serta disokong.
“Inilah yang membimbangkan saya. Perkara yang benar dianggap palsu, manakala perkara yang salah dipertahankan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2026, di sini hari ini.
Tambah beliau, menjadi tanggungjawab untuk setiap individu menegakkan perkara yang baik dan menolak kemungkaran.
“Tetapi hari ini, ada yang mempertahankan kemungkaran. Tidak mengapa, katanya, kalau mencuri berbilion ringgit, asalkan orang itu Melayu. Jangan tegur orang Melayu, katanya,” menurut beliau dalam ucapannya.
Justeru, Anwar menegaskan, masyarakat perlu kembali kepada prinsip menegakkan kebaikan dan menolak kemungkaran, bukannya melindungi perbuatan salah atas alasan kepentingan atau identiti kelompok tertentu.
Beliau mengambil contoh ketika zaman persekolahan, apabila perbuatan mencuri sebatang pensel atau buah rambutan milik orang lain tetap ditegur ibu bapa, walaupun nilainya kecil.
Katanya, amat membimbangkan apabila kesalahan kecil dahulu dianggap serius, tetapi kehilangan wang berbilion ringgit pula dipandang ringan oleh sesetengah pihak.
“Kalau mencuri buah rambutan orang lain pun kita dimarahi. Katakanlah 10 biji rambutan itu bernilai RM1, kita tetap ditegur.
“Tetapi apabila wang berbilion ringgit hilang, ada yang menganggapnya tidak mengapa,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan isu berkenaan bukan sekadar berkaitan undang-undang, malah mencerminkan kelemahan pendidikan, nilai dan akhlak yang perlu ditangani secara menyeluruh.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan bahawa pendidikan anak-anak perlu merangkumi pembentukan adab dan akhlak, selain penguasaan ilmu serta kemahiran.
Beliau turut memetik ungkapan Arab, ‘Addabani Rabbi fa ahsana ta’dibi’ yang membawa maksud bahawa Tuhanku mendidikku, lalu Dia memperelokkan pendidikanku.
Menurutnya, seseorang yang memiliki ilmu dan kemahiran tinggi tidak semestinya membawa manfaat jika kepakaran itu disalahgunakan untuk mencuri wang atau memusnahkan institusi yang diamanahkan kepadanya.
“Apa gunanya seseorang menjadi akauntan atau jurukira yang hebat, mempunyai ilmu dan kemahiran tinggi, tetapi menggunakan kepandaiannya untuk mencari jalan mencuri wang? Akhirnya, institusi yang diamanahkan kepadanya musnah,” katanya.
Anwar berkata, sebab itu setiap dana kerajaan termasuk yang disalurkan menerusi TEKUN dan bantuan kepada rakyat, mesti diurus dengan penuh amanah serta mematuhi peraturan.
Beliau turut mengingatkan bahawa mana-mana pihak yang melanggar peraturan berkaitan pengurusan dana boleh ditangkap dan didakwa mengikut undang-undang.
Katanya, tindakan tegas terhadap penyalahgunaan amanah serta usaha membina masyarakat berteraskan nilai dan akhlak penting bagi menyelamatkan negara daripada budaya mempertahankan kemungkaran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








