Syarikat pertahanan Israel disekat pamer produk di Pameran Udara Paris
PARIS – Empat syarikat peralatan persenjataan dari Israel disekat daripada mempamerkan produk mereka di reruai Pameran Udara Paris yang bermula semalam.
Menurut penganjur pameran tersebut, mereka telah “melaksanakan arahan daripada pihak berkuasa Perancis yang berkaitan sebelum acara dibuka, berhubung penyingkiran beberapa peralatan yang dipamerkan di reruai syarikat Israel”, lapor Franceinfo.
Difahamkan, antara bahan persenjataan yang dilarang termasuk peralatan yang digunakan sewaktu Israel menyerang Tebing Gaza.
Buat masa ini, kesemua reruai tersebut dihadang dengan papan hitam mengehadkan pergerakan dan pandangan pengunjung.
Menurut penganjur, kesemua reruai itu hanya akan dibenarkan dibuka semula sekiranya mereka menarik balik senjata yang dipamerkan.
Sementara itu, Perdana Menteri Perancis, Francois Bayrou menjelaskan meskipun syarikat berkenaan diberi amaran lebih awal, sesetengahnya gagal mematuhi arahan.
“Pendekatan kerajaan Perancis sangat jelas: tiada senjata perang ofensif dibenarkan dalam pameran. Senjata pertahanan dibenarkan sepenuhnya, tetapi senjata serangan tidak boleh dipamerkan,” kata Bayrou kepada wartawan.
Beliau menegaskan adalah tidak wajar untuk mempamerkan senjata serangan dalam pameran sebegini memandangkan keprihatinan Perancis terhadap situasi di Gaza.
“Situasi di Gaza menuntut agar Republik Perancis menyatakan pendirian dengan jelas, tidak boleh membiarkan rakyat kelaparan, tidak boleh menghalang bantuan kemanusiaan, dan tidak boleh mengasingkan mereka sepenuhnya daripada dunia tanpa kita bersuara atas nilai asas kita.
“Itulah yang kami lakukan melalui keputusan ini,” jelas Bayrou, merujuk kepada penderitaan rakyat Palestin di Gaza, yang kini berdepan sekatan bantuan kemanusiaan oleh Israel sejak beberapa bulan lalu.
Kehadiran Israel dalam pameran teknologi persenjataan terbesar dunia itu turut menerima bantahan beberapa kumpulan yang mendesak supaya syarikat Israel dikeluarkan dari Le Bourget atas dakwaan menyumbang kepada “jenayah antarabangsa,” menurut Franceinfo.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








