BERITA SEMASALUAR NEGARA

Sistem pertahanan canggih Israel gagal pintas serangan Houthi

BAITULMAQDIS – Israel terpaksa menutup sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion berhampiran Tel Aviv selepas peluru berpandu balistik yang dilancarkan pejuang Houthi dari Yaman gagal dipintas dan mendarat berhampiran kawasan lapangan terbang tersebut semalam.

Penutupan selama kira-kira 30 minit itu mendedahkan kelemahan sistem pertahanan udara negara itu meskipun disokong oleh sistem ketenteraan canggih milik Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan CNN, insiden tersebut dipercayai kejayaan kali pertama serangan peluru berpandu jarak jauh oleh kumpulan Houthi sejak tercetusnya konflik sejak lebih 18 bulan lalu.                                                                                                                                                                    Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan beberapa percubaan dilakukan untuk memintas peluru berpandu tersebut menggunakan sistem pemintas jarak jauh Arrow.

“Keputusan pemintasan sedang dikaji,” ujar kenyataan IDF.

Difahamkan, sistem pertahanan peluru berpandu Thaad milik AS yang turut ditempatkan di Israel juga gagal menghalang serangan tersebut.

Kumpulan Houthi yang disokong Iran mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, sambil menyifatkannya sebagai tindak balas terhadap jenayah genosid Israel terhadap rakyat Gaza.

Jurucakap Houthi, Yahya Saree, dalam kenyataan berkata serangan dilakukan menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik dan memberi amaran lebih banyak serangan akan menyusul.

“Kami akan mengenakan sekatan udara menyeluruh ke atas Israel dengan menyasarkan lapangan terbang secara berulang, khususnya Ben Gurion,” katanya sambil menyeru semua syarikat penerbangan antarabangsa untuk membatalkan penerbangan ke negara itu.

Susulan insiden tersebut, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar akan melancarkan serangan balas terhadap kumpulan Houthi.

Satu mesyuarat tergempar Kabinet Keselamatan Israel turut diadakan petang semalam bagi membincangkan langkah seterusnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button