Peralihan sokongan, Israel bakal bergelar negara ‘pariah’
KUALA LUMPUR – Israel kini berdepan tekanan memuncak apabila negara-negara yang suatu ketika dahulu dianggap sekutunya, mula mengambil pendirian lebih keras dengan mengkritik operasi ketenteraan rejim Zionis di Gaza secara terbuka malah membelakangi kepentingan negara haram itu dengan mengiktiraf negara Palestin.
Negara Barat seperti Britain, Kanada dan Australia yang telah berpuluh tahun menjadi antara sekutu rapat Israel baru-baru ini mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.
Tindakan itu dilihat satu tamparan diplomatik yang hebat buat Tel Aviv, sekali gus memulakan gelombang baharu dalam landskap sokongan antarabangsa.
Tidak cukup dengan itu, Kesatuan Eropah (EU) juga turut menzahirkan pendirian tegas apabila mencadangkan pembekuan perjanjian perdagangan bebas dengan Israel yang dilihat akan memberi kesan ekonomi ketara kepada Israel.
Terbaharu, Perancis mengesahkan pengiktirafan Palestin, langkah yang dilihat sebagai menekan kerajaan Benjamin Netanyahu supaya menghentikan tindakan ketenteraan yang mengorbankan puluhan ribu nyawa orang awam.
Namun tekanan tidak hanya datang dari Eropah. Mesir dan Jordan yang merupakan dua negara Arab paling akrab dengan Israel kini lantang mengkritik tindakan ketenteraan rejim itu yang bakal menjejaskan keselamatan di sempadan mereka.
Namun perubahan sikap negara-negara berkenaan diketahui umum tidak datang daripada keikhlasan pemimpin mereka sebaliknya tercetus daripada tekanan rakyat sendiri. Tindak balas yang diharap mampu menegakkan kembali hak asasi manusia.
Kebangkitan suara masyarakat global yang kuat menuntut keadilan kepada Palestin juga memberi kesan besar kepada pendirian kerajaan masing-masing seperti yang berlaku di Sepanyol dan terkini di Itali.
Situasi itu secara tidak langsung memencilkan Israel di pentas dunia. Jika trend ini berterusan, tidak mustahil lebih banyak negara sekutunya akan menukar haluan dengan memberi pengiktirafan kepada Palestin.
![]()
Apa yang pasti, dengan berpaling tadahnya negara sekutu-sekutu itu akan mengubah geopolitik di Asia Barat. Israel yang selama ini bergantung pada sokongan Barat juga akan mendapati dirinya semakin terasing.
Dalam masa sama, situasi itu juga meletakkan sekutu paling besar seperti Amerika Syarikat dalam dilema kerana tekanan di Eropah boleh menjejaskan perpaduan blok Barat khususnya dalam menangani isu antarabangsa lain, termasuk perang di Ukraine.
Bagi negara Arab yang mempunyai hubungan damai dengan Israel pula, peningkatan kemarahan rakyat terhadap keganasan di Gaza juga boleh menggugat kestabilan dalaman.
Dalam kata lain, pemimpin kerajaan terpaksa berdrama demi mengimbangi kepentingan keselamatan dengan solidariti terhadap Palestin.
Dari sudut ekonomi pula, cadangan EU untuk membekukan perjanjian perdagangan bebas dengan Israel dijangka memberi impak besar terhadap ekonomi negara itu, khususnya dalam sektor teknologi dan eksport pertanian.
Langkah tersebut sudah tentu akan mengusik rantaian bekalan global kerana Israel merupakan pemain utama dalam industri teknologi seperti semikonduktor dan teknologi pertahanan.
Dan bagi negara sekutu pula, tindakan menekan Israel oleh banyak negara bererti mereka perlu mencari imbangan antara kepentingan moral dan hubungan dagangan.
Namun di sebalik kemelut itu, penganalisis melihat tekanan yang berlaku boleh membuka peluang baharu kepada negara-negara lain seperti Turkiye, Qatar dan Malaysia sendiri untuk mengisi ruang kerjasama perdagangan dengan Eropah yang beralih daripada Israel.

Apa yang pasti, jika situasi itu berlanjutan, Israel bakal berdepan lebih banyak risiko yang merugikan masa depan mereka.
Antaranya termasuk kemerosotan sokongan di forum antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Tanpa sokongan negara sekutu tradisional, lebih banyak resolusi serta tindakan undang-undang mungkin dikenakan ke atas rejim Zionis.
Jika semakin banyak negara berpengaruh menjadikan penyelesaian dua negara sebagai prasyarat hubungan diplomatik dan ekonomi, Israel akan dibawa ke meja rundingan untuk menerima kompromi yang selama ini cuba dielak.
Kesemua tanda itu kini sudah jelas dan Israel telahpun kehilangan jaringan sokongan tradisionalnya, terdedah kepada tekanan ekonomi global serta berisiko dilabel sebagai negara ‘pariah’ di arena antarabangsa, sepertimana yang dialami Afrika Selatan ketika era Apartheid dahulu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








