Kecurian kabel ganggu operasi MRT Laluan Putrajaya – Rapid KL
KUALA LUMPUR – Operasi MRT Laluan Putrajaya mengalami kelewatan hari ini berikutan gangguan bekalan kuasa akibat kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Taman Equine.
Menurut Rapid KL, kejadian itu dikesan pada jam 5.24 pagi apabila sebuah tren tidak dapat bergerak di Stesen Taman Equine.
Susulan itu, pasukan teknikal digerakkan bagi menjalankan kerja pembaikan selain memulihkan bekalan kuasa di kawasan terbabit.
“Bagi membantu kelancaran pergerakan penumpang sepanjang gangguan berkenaan, pihak operasi mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara,” katanya dalam kenyataan.
Rapid KL memaklumkan tren dari Stesen Kwasa Damansara kini berpatah balik di Stesen UPM dengan kekerapan 10 minit, manakala tren alternatif dari Stesen UPM pula berpatah balik di Stesen 16 Sierra dengan kekerapan sama.
“Selain itu, tren perantara di antara Stesen 16 Sierra ke Stesen Putrajaya Sentral disediakan dengan kekerapan setiap tujuh minit.
“Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma dengan kekerapan 15 hingga 20 minit bergantung pada keadaan trafik semasa,” katanya.
Laluan bas perantara berkenaan melibatkan Stesen Serdang Jaya, UPM, Taman Equine, Putra Permai, 16 Sierra, Cyberjaya Utara, Cyberjaya City Centre dan Putrajaya Sentral.
Bagaimanapun, pelarasan operasi itu menyebabkan penumpang dijangka mengalami masa menunggu lebih lama di platform, khususnya di Stesen UPM, Stesen 16 Sierra dan Stesen Putrajaya Sentral.
Dalam pada itu, Rapid KL menasihatkan penumpang yang menggunakan Laluan Putrajaya untuk ke Sepang menerusi sambungan ERL di Putrajaya Sentral supaya merancang perjalanan masing-masing.
Penumpang turut boleh menggunakan laluan alternatif menerusi Stesen ERL KL Sentral dan Stesen ERL Bandar Tasik Selatan.
Bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen ditempatkan di platform serta ruang legar stesen untuk memberikan bantuan.
Pengumuman berkala turut dibuat di stesen bagi memaklumkan penumpang mengenai keadaan semasa perkhidmatan.
Rapid KL menegaskan pihaknya memandang serius kejadian kecurian kabel yang menjejaskan kelancaran serta keselamatan operasi.
Maklumat terkini berkaitan perkhidmatan akan disalurkan dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial rasmi Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








