Gangguan berulang LRT Laluan Kelana Jaya
KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi Laluan Kelana Jaya sekali lagi mengalami gangguan pagi Jumaat susulan masalah teknikal, sekali gus mencetuskan rungutan dalam kalangan pengguna.
Rapid KL berkata, sebuah tren terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan di salah sebuah stesen laluan berkenaan akibat isu teknikal.
“Keadaan berkenaan menyebabkan perubahan sementara pada kekerapan tren dan penjadualan diselaraskan secara automatik.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook pagi ini.
Gangguan terbaharu itu berlaku hanya beberapa hari selepas laluan sama dilaporkan mengalami masalah teknikal berulang membabitkan sistem brek kecemasan dan sistem peranti kawalan tren pada Isnin lalu.
Rapid Rail Sdn Bhd sebelum itu memaklumkan beberapa tren terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan selepas isu dikesan seawal jam 6.01 pagi, sekali gus menjejaskan kekerapan tiga minit yang dirancang pada waktu puncak.
Di media sosial, pengguna meluahkan rasa kecewa dengan gangguan yang didakwa semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
Seorang pengguna mempersoalkan jumlah tren yang dikeluarkan daripada laluan pada hari berkenaan, manakala pengguna lain mendakwa gangguan perkhidmatan itu kerap berulang sepanjang bulan ini.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan mengarahkan siasatan dilakukan terhadap gangguan berulang melibatkan laluan tersebut serta meminta penjelasan daripada pihak pengendali.
Gangguan berulang itu terus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penumpang yang bergantung kepada perkhidmatan LRT sebagai pengangkutan utama harian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








