BERITA SEMASA

Mahu azan, solat jemaah dihentikan, AJK surau buat 10 laporan polis

AMPANG – Tindakan seorang individu yang didakwa mahu laungan azan dan solat berjemaah dihentikan membawa kepada 10 laporan polis dibuat oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Seraya.

Pengerusinya, Abdullah Sulaiman berkata, laporan tersebut dibuat bagi menepis dakwaan tidak berasas selain menangani gangguan berterusan daripada individu berkenaan.

Menurutnya, pihak surau menerima mesej peribadi yang disifatkan sebagai tekanan, termasuk aduan kononnya azan mengganggu serta permintaan menghentikan solat berjemaah yang dilaksanakan sejak 2019 kerana didakwa menjejaskan trafik.

surau
Gambar Surau Taman Seraya di Ampang.

“Kami menerima mesej WhatsApp secara peribadi daripada individu berkenaan yang dilihat sebagai satu bentuk tekanan dan gangguan kepada AJK surau.

“Antara isu yang dibangkitkan termasuk dakwaan bahawa laungan azan mengganggu, selain permintaan supaya solat berjemaah yang dilaksanakan sejak 15 November 2019 dihentikan kerana dikatakan menjejaskan laluan trafik,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah, hari ini.

Individu itu juga dilaporkan meminta lampu di kawasan surau tidak dinyalakan.

Abdullah berkata, isu berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama namun semakin memuncak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, satu sesi dialog akan diadakan di Pejabat ADUN Teratai melibatkan pelbagai pihak termasuk polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi mencari penyelesaian.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid mengesahkan laporan diterima dan siasatan sedang dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button