BERITA SEMASA

Jangan hukum institusi zakat hanya kerana satu kes – YADIM

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menggesa masyarakat agar tidak terburu-buru menghukum keseluruhan institusi zakat susulan satu kes penyelewengan yang tular baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Hasan Bahrom berkata, adalah tidak wajar untuk membiarkan satu insiden menjejaskan reputasi serta sumbangan besar yang telah dilaksanakan oleh majoriti institusi zakat di negara ini.

Menurut beliau, pelbagai institusi zakat terbukti berjaya mengangkat martabat asnaf sehingga mampu berdikari dan akhirnya menjadi pembayar zakat.

“Sebagai contoh, Lembaga Zakat Selangor melalui program pembangunan usahawan asnaf berjaya melahirkan ramai penerima zakat yang membina perniagaan sendiri dalam bidang makanan dan perkhidmatan.

“Kejayaan ini membolehkan mereka keluar daripada kategori asnaf dan kembali menyumbang sebagai pembayar zakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan turut memainkan peranan penting melalui pelbagai skim bantuan pendidikan dan keusahawanan sehingga melahirkan graduan serta usahawan dalam kalangan asnaf.

“Ini membuktikan institusi zakat bukan sekadar mekanisme bantuan jangka pendek, sebaliknya instrumen pembangunan ummah yang strategik dan berimpak tinggi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hasan menegaskan pendekatan adil dan seimbang perlu diamalkan selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang menekankan nilai amanah, ihsan dan integriti.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terhakis akibat persepsi yang tidak menyeluruh.

Beliau turut berkata, YADIM memandang serius isu penyelewengan dana zakat dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku.

“Sebarang perlakuan penyelewengan, pecah amanah atau salah guna dana zakat perlu disiasat dan diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa pengecualian.

“YADIM yakin kerajaan MADANI tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya menghormati proses perundangan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus, bebas serta profesional.

“Zakat adalah tonggak utama dalam sistem sosioekonomi Islam yang memberi impak besar kepada kehidupan rakyat.

“Justeru, orang ramai perlu terus menunaikan kewajipan berzakat dengan penuh keyakinan tanpa terpengaruh dengan satu insiden terpencil,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button