BERITA SEMASA

Seleweng dana zakat: Tiada sebarang usaha ‘cover up’ akan berlaku – Menteri Agama

PUTRAJAYA – Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan beliau tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau kakitangan yang terlibat dalam sebarang bentuk salah laku, rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, ia susulan laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan bantuan dana zakat di bawah salah satu agensi agama.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama, saya menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi sama sekali terhadap sebarang bentuk salah laku, rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

“Dana yang diamanahkan untuk kebajikan umat Islam mesti diuruskan dengan penuh integriti, amanah dan ketelusan.

“Saya dimaklumkan bahawa siasatan dalaman telah dimulakan dan laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan menyeluruh.

“Tiada sebarang usaha ‘cover up’ akan berlaku dan mana-mana pegawai atau staf yang terlibat akan diambil tindakan tegas mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengadu dan masyarakat awam yang berani tampil ke hadapan untuk melaporkan salah laku ini.

Katanya, keberanian sebegini amat dihargai dan menjadi contoh kepada warga kerja lain serta masyarakat bahawa integriti adalah tanggungjawab bersama.

Pada masa yang sama, beliau juga menggalakkan orang ramai agar segera membuat aduan kepada pihak berkuasa atau agensi agama sekiranya mengetahui sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa atau rasuah.

Katanya, setiap laporan akan diteliti dan disiasat dengan serius, tanpa sebarang kompromi.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa peringatan dan teguran telah berulang kali diberikan kepada semua agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama agar tidak sesekali mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Kegagalan menjaga integriti bukan sahaja mencemar nama baik institusi, malah mengkhianati kepercayaan umat Islam.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM dan agensi penguat kuasa lain dalam memastikan setiap bentuk salah laku ditangani dengan tegas dan telus. Tiada kompromi terhadap integriti. Tiada perlindungan terhadap salah laku,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button