INISIATIF KERAJAANRENCANA

E-Invois di Malaysia: Antara keperluan digital, realiti perniagaan

DALAM era kos sara hidup yang meningkat, persaingan perniagaan semakin sengit dan keperluan pendigitalan tidak lagi boleh dielakkan.

Justeru, sistem e-Invois kini muncul sebagai antara perubahan terbesar yang perlu dihadapi oleh komuniti perniagaan di Malaysia.

Apa yang dahulunya sekadar resit dan invois manual, kini bergerak ke arah sistem digital yang lebih telus, berstruktur dan dipantau secara masa nyata.

Melalui pelaksanaan e-Invois, pembayar cukai tidak perlu lagi risau jika resit hilang atau rosak.

Pelaksanaan e-Invois bukan sekadar perubahan teknikal, sebaliknya mencerminkan transformasi menyeluruh cara urus niaga direkod, disimpan dan dilaporkan kepada pihak berkuasa percukaian.

Menjelang tahun 2026, kerajaan terus memperhalusi pelaksanaannya bagi memastikan ia tidak membebankan, khususnya kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

Status terkini pelaksanaan e-Invois

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam satu kenyataan berkata, setakat ini, pelaksanaan e-Invois di Malaysia telah memasuki Fasa Keempat yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

“Fasa ini melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta merangkumi sebahagian besar PMKS di seluruh negara.

“Menyedari perbezaan tahap kesiapsiagaan perniagaan, kerajaan mengumumkan lanjutan tempoh kelonggaran selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2026, berbanding hanya enam bulan bagi fasa-fasa terdahulu.

“Lanjutan ini memberi ruang lebih luas kepada PMKS dan pembayar cukai untuk menyesuaikan operasi, sistem dan sumber manusia secara berperingkat dan terancang,” kata HASiL.

Tambah HASiL lagi, sepanjang tempoh peralihan tersebut, pembayar cukai Fasa Keempat masih perlu melaksanakan e-Invois, namun diberikan kelonggaran dari sudut pematuhan penuh.

“Selagi e-Invois disatukan dikemukakan bagi setiap bulan, tiada penalti akan dikenakan,” katanya.

BACA JUGA:

e-Invois Bil Kendiri: Elak kekeliruan, perkukuh integriti rekod cukai

Tak perlu panik, ini sebenarnya fungsi e-Invois untuk PMKS

Selain itu, kerajaan turut memberikan kelonggaran khusus kepada sektor pemborong dan peruncitan bahan pembinaan dengan membenarkan pengeluaran e-Invois disatukan mulai 1 Januari 2026.

Di bawah ketetapan baharu ini, e-Invois hanya perlu dikeluarkan bagi transaksi melebihi RM10,000 atau apabila diminta oleh pembeli, berbanding sebelum ini yang mewajibkan e-Invois bagi setiap transaksi tanpa mengira nilai.

Ruang persediaan, tahap penerimaan PMKS

Menurut HASiL, kelonggaran yang diberikan bertujuan memastikan PMKS mempunyai masa mencukupi untuk memahami keperluan e-Invois dan melakukan penyesuaian yang diperlukan.

Namun begitu, pembayar cukai tidak wajar mengambil mudah tempoh lanjutan ini.

“Sebaliknya, pembayar cukai digalakkan memanfaatkan lanjutan tempoh peralihan dengan memahami keperluan sistem, melatih pekerja, memaklumkan kepada pelanggan serta menaik taraf sistem perniagaan yang berkaitan,” kata HASiL.

Langkah awal ini penting bagi mengelakkan gangguan operasi apabila pelaksanaan penuh dikuatkuasakan kelak.

PMKS Hasil
Kelonggaran yang diberikan bertujuan memastikan PMKS mempunyai masa mencukupi untuk memahami keperluan e-Invois dan melakukan penyesuaian yang diperlukan. – Foto Hiasan

Dari sudut penerimaan, pelaksanaan e-Invois menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai peniaga memilih untuk melaksanakannya lebih awal secara sukarela.

Trend itu mencerminkan peningkatan kesedaran dalam kalangan peniaga terhadap kepentingan perekodan transaksi yang sistematik dan berintegriti.

Walau bagaimanapun, tahap kesiapsiagaan masih berbeza mengikut saiz dan bentuk perniagaan.

Perniagaan yang telah menggunakan sistem perakaunan atau Point of Sale (POS) lazimnya lebih mudah menyesuaikan diri.

Sebaliknya, perniagaan mikro yang masih bergantung kepada kaedah manual memerlukan sokongan, bimbingan dan tempoh penyesuaian yang lebih rapi.

Kemudahan sistem, sokongan terkini oleh HASiL

Bagi memastikan pelaksanaan e-Invois tidak membebankan, HASiL menyediakan beberapa platform rasmi secara percuma.

Antaranya ialah Portal MyInvois dan Aplikasi Mudah Alih MyInvois yang membolehkan penjual mengeluarkan e-Invois serta membolehkan penjual dan pembeli menyemak rekod e-Invois yang diterima.

“Kemudahan ini sesuai untuk perniagaan Business to Business (B2B) atau perniagaan dengan jumlah transaksi yang tidak terlalu tinggi,” katanya.

MyInvois
Sistem MyInvois e-Pos bukan sahaja membolehkan pengeluaran resit dan e-Invois, malah merangkumi fungsi perekodan jualan, pengurusan inventori, perakaunan asas dan pelaporan kewangan.

HASiL turut memperkenalkan MyInvois e-POS iaitu sistem POS digital yang direka khusus untuk PMKS dengan jualan tahunan sehingga RM5 juta.

“Sistem ini bukan sahaja membolehkan pengeluaran resit dan e-Invois, malah merangkumi fungsi perekodan jualan, pengurusan inventori, perakaunan asas dan pelaporan kewangan.

“Penyediaan sistem percuma ini mencerminkan komitmen Kerajaan bagi memastikan kos pelaksanaan e-Invois tidak menjadi halangan kepada PMKS untuk beralih kepada sistem digital,” katanya.

Peranan E-Invois dalam kemampanan percukaian

Dari sudut percukaian, e-Invois menyokong pematuhan cukai secara sukarela melalui pendekatan compliance by design.

Apabila transaksi direkod secara tepat dan berstruktur, proses pelaporan cukai menjadi lebih mudah, telus dan konsisten.

BACA JUGA:

HASiL ingatkan pembayar cukai simpan resit dan e-Invois bagi persediaan e-Filing 2026

HASiL laksana e-Invois Fasa 4, sistem e-Duti Setem bermula 1 Januari 2026

Dalam jangka panjang, ekosistem e-Invois dijangka membuka ruang kepada penambahbaikan sistem percukaian seperti praisi tuntutan pelepasan cukai individu, pengurangan keperluan penyimpanan dokumen fizikal serta pengurangan audit manual, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Ketersediaan data transaksi yang lebih tepat dan bersepadu juga berpotensi menurunkan kos pematuhan dan kos audit, sekali gus memberi manfaat kepada pembayar cukai dan pihak berkuasa.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, pelaksanaan e-Invois di Malaysia memperlihatkan pendekatan yang seimbang antara keperluan pematuhan undang-undang dan realiti operasi perniagaan.

“Dengan lanjutan tempoh peralihan, penyediaan sistem percuma serta sokongan berterusan oleh HASiL, PMKS diberikan ruang masa yang mencukupi untuk membuat peralihan digital.

“E-Invois bukan sekadar satu kewajipan perundangan tetapi satu langkah strategik ke arah perniagaan yang lebih teratur, telus dan berdaya saing dalam landskap ekonomi digital negara,” kata HASiL lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button