Kerajaan lanjut tempoh e-Invois Fasa 4, beri kelonggaran kepada PMKS
PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan e-Invois Fasa 4 selama 12 bulan lagi sehingga 31 Disember 2027 bagi memberi ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana menyesuaikan operasi dalam suasana ekonomi mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelonggaran itu melibatkan perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.
Menurut beliau, sepanjang tempoh berkenaan, syarikat dibenarkan mengeluarkan e-invois secara disatukan tanpa dikenakan sebarang penalti.
Dalam pada itu, kerajaan turut mempertimbangkan pengecualian sementara duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport akibat gangguan konflik, sehingga 31 Disember 2026.
“Kerajaan akan terus memantau dan mengkaji keperluan untuk memudah cara layanan cukai bagi perniagaan yang terkesan daripada konflik Asia Barat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan akan terus bertindak proaktif dalam memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan meskipun berdepan tekanan global yang berpanjangan.
Katanya, kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan usahawan akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap langkah yang diambil mampu membantu mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat.
“Ini bukan situasi sementara, sebaliknya kita perlu bersedia menghadapi perubahan yang berperingkat dan berpanjangan,” katanya.
Beliau menegaskan, selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI, kerajaan komited memperkukuh daya tahan ekonomi negara di samping memastikan bantuan disalurkan secara bersasar kepada golongan yang memerlukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








