HASiL kutip RM203.991 bilion, kali pertama lepasi RM200 bilion
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) mencatat sejarah apabila kutipan cukai langsung negara buat pertama kali melepasi paras RM200 bilion dengan jumlah RM203.991 bilion pada tahun 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu merupakan yang terbaik setakat ini dengan peningkatan sebanyak RM19.186 bilion atau 10.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut beliau, prestasi kukuh tersebut membolehkan kerajaan menyalurkan tambahan bayaran balik cukai sebanyak RM11.4 bilion kepada pembayar cukai syarikat yang tertunggak, sekali gus menyelesaikan komitmen lampau secara lebih tersusun dan telus.
“Sesungguhnya sistem percukaian yang baik bukan sekadar cekap mengutip, tetapi juga adil dan saksama,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof pada Majlis Sambutan Hari HASiL Ke-30 Tahun 2026 di sini hari ini.
Anwar berkata, HASiL perlu terus memperkukuh keupayaan analitik serta pendigitalan bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.
“Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi moden perlu diperkasa untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan ketirisan serta memudahkan pematuhan dalam kalangan pembayar cukai.
“Perkhidmatan kepada rakyat dan perniagaan mesti terus dipermudah, dipercepat dan diperkemas.
“Matlamatnya bukan sekadar kutipan cukai yang lebih tinggi, tetapi sistem percukaian yang lebih adil, telus dan diyakini,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga HASiL sempena ulang tahun ke-30 penubuhannya, yang disifatkan bukan sekadar meraikan pencapaian lalu, tetapi sebagai titik tolak kepada peranan lebih besar pada masa hadapan.
Menurutnya, cukai bukan hanya kewajipan undang-undang, sebaliknya merupakan amanah bersama dalam membiayai sektor penting negara seperti pendidikan, kesihatan, perlindungan sosial dan pembangunan.
“Justeru, hasil negara mesti diurus dengan amanah, integriti dan ketelusan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















