Kapal gergasi Kesultanan Melaka berusia 900 tahun ditemui
MELAKA – Satu rangka kapal kayu gergasi dipercayai milik pembesar Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan berusia antara 800 hingga 900 tahun ditemui di Pulau Melaka di sini, sekali gus membuka lembaran baharu sejarah maritim negara.
Memetik laporan KOSMO!, kapal sepanjang antara 50 hingga 70 meter itu disahkan sebagai antara yang terbesar dan tertua pernah ditemui di Malaysia, membuktikan kehebatan teknologi perkapalan orang Melayu sejak abad ke-13.
Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Ruzairy Arbi, berkata hasil ujian pentarikhan saintifik terhadap sampel kayu kapal di makmal Beta Analytic, Amerika Syarikat, menunjukkan ia berasal dari sekitar tahun 1200 hingga 1300 Masihi iaitu era awal kemunculan Kesultanan Melaka.
“Penemuan ini amat signifikan kerana saiz dan rekaannya hampir menyamai kapal legenda Mendam Berahi, sekali gus menandakan kewujudan armada bangsawan dan elit Kesultanan Melayu Melaka jauh sebelum kedatangan penjajah,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan, hari ini.
Beliau berkata, antara artifak yang ditemukan ialah serpihan porselin serta duit syiling era Sultan Mahmud Shah, menunjukkan kapal itu milik golongan istana, bukan pedagang.
Struktur kapal berkenaan diperbuat daripada kayu saga dan merbau — dua spesies tempatan berkualiti tinggi — sekali gus menolak kemungkinan ia berasal dari luar atau penjajah.
Menurut Ruzairy, kerja ekskavasi kini memasuki fasa ketiga dengan peruntukan RM200,000 daripada UNESCO bagi menyelamatkan keseluruhan rangka dan artifak sebelum proses konservasi dilakukan untuk dipamerkan kepada umum oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








