SUKAN

Pearly-Thinaah cipta sejarah juarai Terbuka Artik

KUALA LUMPUR – Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah, mencipta sejarah apabila muncul juara kejohanan Terbuka Artik 2025 selepas menewaskan gandingan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di pentas final, hari ini.

Pasangan ranking kedua dunia itu mempamerkan aksi bertenaga untuk mencatat kemenangan mudah 21-7, 21-9 dalam masa hanya 31 minit di Energia Areena, Vantaa, Finland sekali gus menjadikan mereka beregu wanita Malaysia pertama menjuarai kejohanan berprestij tersebut.

Dengan kemenangan itu, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM158,468) dan menambah satu lagi kejuaraan dalam koleksi mereka tahun ini selepas menjuarai Terbuka Thailand pada Mei lalu.

Kejayaan itu juga merupakan rekod kedua dicatat pasangan tersebut dalam tempoh dua bulan, selepas mereka menjadi beregu wanita negara pertama mara ke final Kejohanan Dunia BWF dan meraih pingat perak pada Ogos lalu.

Setakat ini, Pearly-Thinaah sudah menentang pasangan Jepun itu sebanyak lapan kali, dengan enam kemenangan memihak kepada gandingan negara.

Sementara itu, harapan Malaysia untuk menambah satu lagi kejuaraan di Finland turut disandarkan kepada beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang bakal beraksi menentang pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy, dalam final acara beregu lelaki malam ini.

Jika Aaron-Wooi Yik berjaya, Malaysia akan mencipta sejarah memenangi dua gelaran di Terbuka Artik sejak kejohanan itu mula dianjurkan pada 1995.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button