Sokongan Bahasa Melayu, Sejarah kukuh jati diri negara – DAPSY
KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan mewajibkan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di semua sekolah disifatkan sebagai pendekatan tepat bagi memperkukuh asas kenegaraan serta membentuk jati diri rakyat Malaysia sejak usia muda.
Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Syaheera Ghafar berkata, dasar itu wajar diberi sokongan penuh kerana Bahasa Melayu dan Sejarah merupakan tunjang utama pembinaan identiti nasional, perpaduan serta kefahaman terhadap perjalanan negara.
Menurut beliau, sokongan terhadap pengukuhan kedua-dua subjek berkenaan selari dengan dapatan kajian Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menunjukkan pelaburan tinggi dalam pendidikan mampu menjamin pertumbuhan ekonomi lebih stabil, mengurangkan jurang kemiskinan serta membentuk masyarakat lebih toleran dan inklusif.
“Sebagai anak muda, saya menyambut baik pengumuman Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang jelas menunjukkan keseriusan Kerajaan MADANI melabur dalam pendidikan, khususnya melalui pengukuhan Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai asas pembinaan negara bangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syaheera berkata, penguasaan Bahasa Melayu yang baik serta kefahaman mendalam terhadap Sejarah negara penting bagi memastikan generasi muda memahami nilai kenegaraan, menghargai kepelbagaian dan mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk.
Beliau turut berpandangan, pelbagai insentif dan inisiatif pendidikan yang dirangka menerusi RPN mampu melahirkan lebih ramai anak bangsa yang menghargai kepentingan ilmu sebagai asas kejayaan masa hadapan serta kesediaan untuk berbakti kembali kepada negara.
Dalam pada itu, pendekatan pendidikan yang inklusif dan adil kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan langkah tepat bagi memastikan tiada pihak tercicir dalam sistem pendidikan negara.
“Pendidikan yang menyeluruh dan berteraskan nilai kebangsaan amat penting bagi melengkapkan anak-anak Malaysia menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks,” katanya lagi.
Syaheera berharap perancangan pendidikan yang diumumkan kerajaan dapat diterima dengan pandangan positif oleh masyarakat, khususnya ibu bapa dan warga pendidik, dengan sokongan semua pihak diperlukan bagi merealisasikan masa depan pendidikan negara yang lebih kukuh dan seimbang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








