Peniaga belacan juarai Taiping Half Marathon 2025
TAIPING – Seorang peniaga belacan, Ow Yong Jin Kuang, membuktikan kemampuan luar biasanya apabila muncul juara kategori lelaki 21 kilometer dalam Taiping Half Marathon 2025 yang berlangsung meriah di Dataran Warisan Taiping semalam.
Beliau menamatkan larian dengan catatan masa 1 jam 15 minit 55 saat, mengatasi lebih 3,000 peserta termasuk pelari antarabangsa dari 26 negara.

Jin Kuang, 38, berkata kejayaan itu sangat bermakna kerana ini adalah perlumbaan pertamanya selepas pulih daripada kecederaan kaki yang dialami pada Mei lalu.
“Saya gembira kerana ini adalah acara pertama selepas berehat panjang. Tambahan pula, perlumbaan ini mendapat pengiktirafan AIMS, jadi masa yang dicatat boleh digunakan untuk kelayakan acara antarabangsa,” katanya ketika ditemui.
Lebih istimewa, isterinya Yee Pei Ni turut mencatat kejayaan apabila menjuarai kategori wanita 10 kilometer dengan masa 44 minit 34 saat, hanya lapan bulan selepas melahirkan anak mereka.
“Kami selalu menyokong satu sama lain dalam latihan. Walaupun sibuk dengan keluarga dan perniagaan, kami percaya penting untuk kekalkan gaya hidup sihat dan aktif,” katanya lagi.

Bagi kategori wanita 21 kilometer, Vivien Ng dari Selama, Perak, yang kini menetap di Hong Kong, mencuri perhatian apabila mengungguli saingan dengan catatan masa 1 jam 39 minit 41 saat.
Vivien, yang menyertai acara secara spontan semasa bercuti di Malaysia, berkata cuaca panas dan lembap menjadikan larian ini satu cabaran besar buatnya.
“Ini adalah separuh maraton pertama saya dalam keadaan cuaca seperti ini. Tapi saya teruja dengan medal dan sambutan peserta. Ia satu pengalaman bermakna,” katanya lagi.

Taiping Half Marathon 2025 yang bertemakan “Larian Bersejarah di Hati Taiping” menyaksikan laluan ikonik merentasi Taman Tasik Taiping, Kamunting, Bukit Jana, Tekah dan Jalan Taming Sari yang sarat nilai sejarah, serta mendapat pengiktirafan rasmi Persatuan Maraton dan Larian Jarak Jauh Antarabangsa (AIMS).
Pengarah perlumbaan, Ahmad Azri dari MMTF Consultant, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, sukarelawan dan komuniti tempatan yang memberi kerjasama penuh menjayakan acara.
“Sambutan amat memberangsangkan. Semangat penduduk Taiping dan penglibatan peserta dari luar negara membuktikan acara ini mampu menjadi platform pelancongan sukan negeri,” katanya lagi.
Acara itu turut disokong Kerajaan Negeri Perak, Kementerian Belia dan Sukan serta Tourism Malaysia dengan kerjasama penaja seperti Spin, N8 Sports Nutrition, 100PLUS, Spritzer, VitaHealth dan Taiping Mall.
Keputusan Rasmi:
21KM Lelaki:
• Ow Yong Jin Kuang – 1:15:55
• Muhammad Rizan Firdaus Rohaizad – 1:20:03
• Muhammad Danish Norhisam – 1:20:19
21KM Wanita:
• Vivien Ng – 1:39:41
• Chuah Joo Khim – 1:42:52
• Yeoh Zi Kean – 1:44:12
10KM Lelaki:
• Joshua Loh – 34:45
• Izul Amirul Mukmim – 35:36
• Luqman Nurhakim Mohamad – 37:08
10KM Wanita:
• Yee Pei Ni – 44:34
• Lee Sium Louw – 45:33
• Ooi Yen Yen – 45:38
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



