BERITA SEMASA

KPM komited pastikan kurikulum baharu subjek Sejarah bebas politik kepartian

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) disaran supaya mengambil pendekatan berhati-hati agar elemen politik kepartian tidak diselitkan dalam kurikulum baharu subjek Sejarah yang bakal digunakan di peringkat sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sebarang semakan kurikulum atau penambahan input sejarah baharu perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan pertimbangan menyeluruh.

“Dalam kita ingin menyemak kurikulum atau memasukkan input sejarah baharu (dalam subjek Sejarah), saya harap kementerian sangat berjaga-jaga.

“Lensa sejarah yang diwarnai politik kepartian, walaupun memihak kepada kita, boleh menyebabkan ibu bapa berasa kurang selesa menghantar anak ke sekolah dan akhirnya negara yang rugi secara keseluruhan.

“Kalau kita fokus kepada soal keprihatinan rakyat secara umum seperti isu Rukun Negara, tiada pihak yang akan membantah.

“Namun jika diselitkan elemen politik kepartian, bimbang ia diperbesarkan sehingga perkara baik dalam buku teks Sejarah akan tercicir,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas saranan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menyatakan persetujuan dengan pandangan dikemukakan Syed Saddiq sambil menjelaskan pendirian kementerian berhubung kandungan, termasuk topik berkaitan politik dalam subjek Sejarah.

Menurut beliau, KPM komited memastikan kurikulum Sejarah kekal relevan, namun pada masa sama kandungannya perlu seimbang serta bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian.

“Sememangnya kita memastikan kurikulum Sejarah kekal relevan dan pada masa sama kandungannya seimbang serta bebas daripada pengaruh politik kepartian. Ini memang pendirian KPM,” katanya.

Terdahulu, Kah Woh memaklumkan kurikulum baharu mata pelajaran Sejarah yang akan bermula tahun depan itu hanya membabitkan hanya murid Tingkatan Satu dan Tahun Satu.

Silibus berkenaan katanya, akan diteruskan secara berperingkat pada 2028 untuk Tingkatan Dua dan Tahun Dua.

“Berkenaan kurikulum (mata pelajaran Sejarah) yang sedang diguna pakai oleh KPM, ia sememangnya akan digunakan untuk satu tempoh dan bila sampai (sesuatu tempoh), kita akan memperkenalkan kurikulum bagi persekolahan baharu.

“Bagi tahun depan, kita perkenalkan kurikulum baharu, ia libatkan Tingkatan Satu dan Tahun Satu, manakala tahun akan datang, 2028, ia merangkumi Tingkatan Dua dan Tahun Dua,” katanya pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq mengenai kurikulum baharu mata pelajaran Sejarah serta jangka masa tertentu ditetapkan KPM untuk melakukan semakan semula kurikulum mata pelajaran itu.

Jelas Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping, semakan kurikulum hanya dibuat sekiranya didapati ada keperluan.

“Ia (semakan) boleh dilakukan dari semasa ke semasa, tetapi pihak KPM selalu pastikan ia selaras Falsafah Pendidikan Negara.

“Pada masa sama, ia harus seimbang dengan semua segmen dipertimbangkan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button