BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

SPRM sahkan tiada unsur rasuah dalam pemberimilikan enam kolam takungan banjir – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mendedahkan, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa dalam proses pemberimilikan enam kolam takungan banjir di ibu negara bagi tujuan pembangunan.

Menurut beliau, hasil siasatan itu dibentangkan kepada pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam satu sesi taklimat khas yang diketuai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman.

“Hasil siasatan SPRM mendapati tiada sebarang unsur rasuah, penyelewengan serta salah-guna kuasa ditemui di dalam proses pemberimilikan serta perintah pembangunan yang diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, SPRM telah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua proses pemberimilikan dan perintah pembangunan yang diberikan oleh DBKL melalui semakan dokumen, rakaman percakapan saksi termasuk pemaju terlibat serta lawatan ke tapak kawasan kolam takungan banjir.

taklimat jwp
Sesi taklimat khas tersebut diketuai Ketua Pesuruhjaya SPRM bersama wakil agensi di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan.

“Juruukur yang dilantik turut mengesahkan tiada sebarang pencerobohan sempadan dilakukan oleh pihak pemaju,” katanya lagi.

Menurut Hannah, siasatan itu dimulakan sejak 2021 susulan laporan media dan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 yang mendapati enam kolam takungan banjir telah diluluskan pemberimilikan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk pembangunan kediaman dan pembangunan bercampur.

Bagaimanapun, SPRM mengingatkan agar semua kelulusan pembangunan pada masa depan mengambil kira risiko serta fungsi kolam takungan banjir selain melalui proses penilaian lebih ketat.

Dalam perkembangan sama, JWP akan mempercepatkan proses pewartaan baki 30 peratus kawasan lapang dan kolam takungan banjir yang masih belum diwartakan bagi mengelakkan isu sama berulang.

Hannah berkata, SPRM turut memuji langkah JWP menubuhkan pasukan petugas khas bagi mempercepat proses pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir.

“Hal ini demikian kerana SPRM mendapati perizaban kolam takungan banjir tersebut telah diluluskan sejak 19 Jun 1998, namun proses pewartaan masih belum dilaksanakan semasa pemberimilikan tanah berkenaan.

“Justeru, pada 9 Oktober 2015, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah WPKL telah bersetuju membatalkan kelulusan perizaban yang diluluskan pada 19 Jun 1998 bagi membolehkan kelulusan pemberimilikan seluas 80 ekar diberikan kepada pemaju untuk pembangunan bercampur dengan pengenaan premium berjumlah RM214 juta.

“Terdapat kelewatan selama 18 tahun untuk tindakan pewartaan kawasan ini diambil,” jelas beliau.

Tambahnya, SPRM juga memuji tindakan DBKL yang menghentikan serta-merta semua kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dan pembangunan baharu di kawasan kolam takungan banjir.

Turut hadir dalam sesi taklimat itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud serta Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Rahilah Rahmat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button