Datuk dipenjara 33 tahun, 14 sebatan rogol, amang seksual dua cucu
MUAR – Seorang pesara berusia 67 tahun dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu perempuannya.
Hukuman itu diputuskan Hakim Mohd Khairi Haron selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuannya yang berusia 12 tahun selain merogol mangsa di sebuah rumah di Batu Pahat antara Januari hingga Disember tahun lalu.
Dia turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi cucunya yang berusia sembilan tahun di lokasi dan dalam tempoh yang sama, memetik laporan Metro Online.
Bagi pertuduhan amang seksual fizikal, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, manakala pertuduhan rogol dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, jenayah itu terbongkar selepas salah seorang mangsa menceritakan kejadian yang dialaminya kepada ibunya sebelum laporan polis dibuat pada 8 Jun lalu.
Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum menahan tertuduh bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta dikenakan perintah pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman mengikut Seksyen 26 dan Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















