JENAYAH & MAHKAMAH

Duit pencen RM648,520 lesap ditipu ‘scammer’

MARANG – Seorang pesara lelaki berusia 68 tahun berputih mata apabila wang simpanan pencennya berjumlah RM648,520 lesap selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa, awal bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, mangsa yang ketakutan selepas dituduh kononnya terlibat dalam kes rasuah dan penggubahan wang haram menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, semalam.

Menurut beliau, kejadian bermula pada 8 Disember lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu tidak dikenali yang mendakwa sebagai pegawai polis.

“Mangsa terkejut apabila dimaklumkan kononnya dia terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram dan rasuah.

“Tidak lama kemudian, mangsa menerima satu lagi panggilan daripada individu lain yang pula mendakwa sebagai Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Sofian berkata, mangsa kemudiannya diarahkan untuk melaporkan diri sebanyak lima kali sehari melalui aplikasi WhatsApp bagi tujuan kononnya pemantauan siasatan.

Beliau berkata, suspek turut mengarahkan mangsa membuka sebuah akaun bank baharu sebelum memindahkan kesemua wang simpanannya ke dalam akaun berkenaan atas alasan bagi memudahkan siasatan dijalankan.

“Mangsa yang berada dalam keadaan takut dan tertekan telah menurut arahan suspek dengan membuka akaun bank baharu serta memindahkan keseluruhan simpanannya pada 14 Disember lalu,” katanya.

Kes kini disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan penipuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button