Peniaga rugi lebih RM25,000 ditipu jual beli Harum Manis dalam talian
KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kerugian lebih RM25,000 selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian membabitkan urusan pembelian mangga Harum Manis yang diiklankan di media sosial.
Dalam kejadian pada 18 April lalu, mangsa lelaki berusia 53 tahun dikatakan tertarik dengan iklan jualan buah berkenaan di Facebook sebelum menghubungi penjual melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa kemudiannya menerima satu pautan mengandungi kod QR daripada suspek.
Menurutnya, mangsa yang menekan pautan tersebut dan mengimbas kod QR mendapati telefon bimbitnya tidak berfungsi selama kira-kira 20 minit sebelum menyedari berlaku transaksi mencurigakan.
“Hasil siasatan mendapati terdapat tiga transaksi pengeluaran wang tanpa kebenaran daripada akaun bank milik mangsa.
“Setiap transaksi masing-masing berjumlah RM8,264, RM8,642 dan RM8,374, menjadikan keseluruhan kerugian sebanyak RM25,280,” memetik Buletin TV3 online.
Beliau berkata, mangsa telah menghubungi pihak bank sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, Azli menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya menekan pautan atau mengimbas kod QR daripada individu tidak dikenali.
“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa membuat semakan dan berhati-hati ketika berurusan dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

