JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara rugi RM680,000 diperdaya individu menyamar wakil agensi kerajaan

GEORGETOWN – Seorang lelaki warga emas yang juga pesara pengurus bank kerugian sebanyak RM680,781 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon atau phone scam yang menyamar sebagai wakil agensi kerajaan dan pihak polis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menerima laporan berhubung kejadian itu semalam daripada mangsa berusia 80 tahun yang menetap di Tanjong Bunga, di sini.

Menurut beliau, kejadian bermula pada 12 Jun apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil Cyber Security Putrajaya.

“Suspek mendakwa nama mangsa telah disenarai hitam kerana nombor telefonnya dikaitkan dengan aktiviti penyebaran maklumat palsu.

“Panggilan itu kemudiannya disambung kononnya ke Balai Polis Alor Setar, Kedah dan mangsa berhubung dengan seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Pegawai palsu itu mendakwa akaun bank mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan mengarahkan mangsa membuka akaun baharu di CIMB dan BSN atas namanya sendiri kononnya untuk tujuan pembersihan nama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, mangsa kemudian membuka dua akaun bank seperti diarahkan pada 13 Jun sebelum membuat empat transaksi pemindahan wang secara atas talian dari 19 hingga 23 Jun ke dalam akaun berkenaan berjumlah RM680,781.

“Suspek turut mengarahkan mangsa menyerahkan semua kad ATM dan kad kredit miliknya yang dimasukkan ke dalam sampul surat dan ditinggalkan di atas kotak pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran Maybank Cawangan Tanjong Bunga.

“Pada 26 Jun, mangsa menyemak akaun bank miliknya dan mendapati semua wang telah dipindahkan ke akaun tidak dikenali.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan panggilan telefon mencurigakan terutamanya yang menyamar sebagai pegawai kerajaan atau pihak berkuasa serta meminta maklumat peribadi atau perbankan.

“Jangan mudah percaya, dan lakukan semakan segera melalui laman web https://semakmule.rmp.gov.my atau hadir ke balai polis berhampiran.

“Jika menyedari telah menjadi mangsa, segera hubungi pihak bank masing-masing atau talian NSRC 997 bagi tindakan lanjut.

“Penyebaran mesej kesedaran jenayah komersial amat penting agar masyarakat lebih peka dan dapat melindungi diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button