JENAYAH & MAHKAMAH

Guru direman tujuh hari bantu siasatan kes amang seksual bekas murid

KUALA TERENGGANU – Seorang guru lelaki direman selama tujuh hari sehingga 21 Jun ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan amang seksual fizikal terhadap bekas murid lelakinya yang kini berusia 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asistan Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek yang berusia lingkungan 30-an ditahan di kediamannya di sebuah daerah di Terengganu pada Ahad.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, seorang pelajar sekolah menengah, pada pukul 9.38 pagi hari sama.

“Permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi tempoh tujuh hari bermula 15 hingga 21 Jun ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku pukul 8 pagi pada 4 Jun lalu di sebuah hotel di bandar raya ini.

Siasatan awal mendapati mangsa mendakwa telah dicabul secara fizikal oleh suspek yang dikenalinya, yang juga merupakan guru ketika mangsa masih bersekolah rendah.

Menurut Azli, kes disiasat di bawah Seksyen 14(a), Seksyen 14(d) dan Seksyen 15B(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, selain hukuman penjara sehingga 10 tahun mengikut peruntukan berkaitan.

“Polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan sebanyak empat kertas siasatan berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak telah dibuka oleh Polis Kuala Terengganu dalam tempoh 1 hingga 14 Jun lalu.

Sehubungan itu, Azli mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa peka dan memainkan peranan aktif dalam melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa jenayah seksual.

“Ibu bapa perlu memberikan didikan awal kepada anak-anak mengenai gangguan seksual selain sentiasa memantau pergerakan serta aktiviti harian mereka bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button