INSIDEN tragis yang berlaku baru-baru ini di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menyentap perasaan rakyat Malaysia apabila seorang wanita berusia 44 tahun maut selepas tercampak keluar dari sebuah van yang sedang bergerak.
Mangsa dilaporkan bertengkar dengan suaminya sebelum insiden berlaku. Suami mangsa yang ditahan pihak polis selepas melarikan diri dari tempat kejadian disahkan positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine dalam ujian saringan air kencing.
Suspek juga mempunyai sejarah jenayah dan dua rekod berkaitan dadah.
Kejadian ini bukan sekadar insiden terpencil, tetapi ia mencerminkan satu pola kehidupan rumah tangga yang membimbangkan di mana ia melibatkan hubungan langsung antara penyalahgunaan dadah dan keganasan rumah tangga.
Kesan penyalahgunaan dadah secara amnya boleh menyebabkan seseorang gagal meregulasi emosi, tiadanya pertimbangan rasional dan membawa kepada kawalan diri yang lemah sekali gus meningkatkan risiko berlakunya keganasan fizikal dan emosi terhadap pasangan atau ahli keluarga.
Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), terdapat lebih 7,500 kes keganasan rumah tangga direkodkan pada tahun 2023 melalui Talian Kasih 15999.
Sebahagian besar kes adalah melibatkan suami sebagai pelaku dan penyalahgunaan bahan terlarang merupakan antara pencetus utama.
Manakala, kajian oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2024 pula menunjukkan bahawa sebanyak 23 peratus individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah mempunyai sejarah konflik atau keganasan dalam rumah tangga.
Dalam kebanyakan kes keganasan rumah tangga, bahan terlarang seperti dadah bukan sahaja menyebabkan gangguan tingkah laku, malah menjadi faktor utama kepada tindakan luar kawalan dan agresif.
Individu yang mengambil dadah jenis stimulant seperti methamphetamine sering mengalami gangguan emosi yang serius, termasuk paranoia, halusinasi dan tindak balas impulsif yang boleh membawa maut.
Hal ini dapat dilihat melalui statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), iaitu terdapat sebanyak 138,410 penagih dadah direkodkan di Malaysia antara 2020 hingga 2023.
Lebih membimbangkan, kajian dalaman AADK menunjukkan 1 daripada 4 penagih yang menjalani rawatan turut mempunyai sejarah mencederakan ahli keluarga, termasuk pasangan hidup.
Antara faktor lain yang membawa kepada keganasan rumah tangga ialah tekanan ekonomi dan pengangguran, latar belakang keluarga yang bermasalah, tahap pendidikan dan kemahiran mengurus emosi yang rendah serta sikap dominan atau keinginan mengawal pasangan.
Kombinasi antara ketagihan dadah dan faktor emosi yang rapuh menjadikan pasangan mudah hilang pertimbangan.
Dalam kes insiden di KESAS ini, pertengkaran antara suami isteri berakhir dengan tragedi dan ini bukan kali pertama Malaysia menyaksikan kes seumpama itu.
Isu ini tidak boleh dipandang enteng. Ia memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai pihak termasuklah kerajaan, komuniti, keluarga dan individu sendiri.
Antara langkah yang boleh diambil termasuklah rawatan menyeluruh untuk penagih. Program pemulihan tidak harus fokus pada pemberhentian dadah, tetapi juga melibatkan kaunseling perkahwinan dan pembinaan semula hubungan kekeluargaan serta kempen kesedaran & pendidikan awam.
Masyarakat perlu sedar bahawa penyalahgunaan dadah bukan hanya merosakkan individu, tetapi juga mencederakan insan yang paling rapat melibatkan isteri, anak-anak dan ibu bapa.
Talian bantuan dan intervensi lebih awal juga turut membantu mengatasi masalah ini. Peningkatan akses kepada talian bantuan seperti Talian Kasih (15999), pusat pemulihan AADK dan klinik rawatan mental amat penting agar mangsa atau ahli keluarga boleh mendapatkan sokongan segera. Penguatkuasaan undang-undang dan perintah perlindungan melalui perintah mahkamah seperti Perintah Perlindungan Interim (IPO) perlu dipercepat dan dikuatkuasa dengan lebih berkesan agar mangsa dilindungi daripada pasangan agresif, terutamanya penagih yang ganas.
Kisah wanita maut tercampak dari van bukan hanya statistik dalam laporan jenayah, ia adalah suara yang terputus dalam jeritan sunyi rumah tangga.
Selagi isu dadah tidak ditangani dengan serius, lebih ramai lagi mangsa keganasan domestik yang menambah angka statistik kehancuran institusi keluarga.
Adalah menjadi tanggungjawab bersama individu, keluarga, masyarakat yang waras dan berperikemanusiaan untuk tidak menormalisasikan penderaan atau menutup mata terhadap gejala penagihan.

Penulis:
1) Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

2) Prof Madya Dr Amin Al-Haadi Shafie adalah Pensyarah, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








