Keputusan mahkamah kukuhkan pendirian kebebasan bersuara mesti ikut lunas undang-undang – MCMC
CYBERJAYA – Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam membuat keputusan pengulas politik, Murray Hunter melakukan fitnah dalam saman sivil yang difailkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan mahkamah itu mengukuhkan pendirian suruhanjaya bahawa kebebasan bersuara perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan mengikut lunas undang-undang.
“Hak bersuara tidak merangkumi perbuatan membuat kenyataan palsu, berniat jahat atau memfitnah yang boleh menjejaskan reputasi pihak lain,” kata kenyataan itu, hari ini.
Menurut MCMC, Hunter telah menerbitkan beberapa siri artikel antara April dan November 2024 yang didapati mengandungi tuduhan palsu dan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya itu.
Susulan itu, MCMC membuat laporan polis di Malaysia dan Thailand berhubung penerbitan artikel-artikel berkenaan yang didakwa mengandungi tuduhan serius tanpa asas, sehingga mengelirukan orang ramai dan menjejaskan imej suruhanjaya tersebut.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat beberapa minggu selepas Hunter ditahan oleh pihak berkuasa Thailand ketika beliau hendak berlepas ke Hong Kong bagi urusan peribadi.
Rakyat Australia itu, yang pernah menetap di Malaysia, kini tinggal di Thailand dan dikenali menerusi penulisannya yang bersifat kritikal terhadap politik Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








