Lelaki Indonesia ditemukan lemas di dasar lombong
KOTA TINGGI – Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan lemas di sebuah lombong di Plot 12, Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini selepas dipercayai mandi di kawasan berkenaan, semalam.
Mangsa dikenali sebagai Sudarwanto, 32, dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia di dasar lombong menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara, Pegawai Bomba Kanan II Bahtiar Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 5.59 petang.
Menurutnya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua kenderaan utiliti Hilux dan lima anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mengesahkan terdapat seorang mangsa dipercayai lemas berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada saksi.
“Bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Skudai dan BBP Penawar kemudian digerakkan bagi membantu operasi SAR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pencarian berdepan kesukaran berikutan keadaan air yang mempunyai jarak penglihatan sifar, selain dasar lombong yang berselut tebal.
“Terdapat juga lubang di dasar lombong yang dianggarkan sedalam 10 meter sekali gus menyukarkan usaha pencarian,” katanya.
Menurut Bahtiar, mangsa akhirnya ditemukan pada pukul 9.25 malam menggunakan kaedah pencarian windshield wiper pattern iaitu teknik pencarian secara sapuan berulang dari satu arah ke satu arah yang lain.
“Mangsa ditemui di bahagian tengah lombong pada kedalaman kira-kira 11 meter, namun disahkan telah meninggal dunia,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.50 malam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








