Imigresen selamatkan wanita Indonesia mangsa pemerdagangan manusia
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia ketika bekerja sebagai pembantu rumah tanpa izin di sebuah premis kediaman di Batu Caves, Selangor kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil maklumat yang diterima daripada sumber.
“JIM memandang serius kes-kes eksploitasi warga asing seperti ini dan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pemerdagangan manusia,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zakaria, semasa pemeriksaan dijalankan, wanita berusia 56 tahun itu ditemui sedang bersembunyi di bawah sebuah kereta pacuan empat roda atas arahan majikannya untuk mengelak dikesan pegawai operasi.
“Mangsa telah bekerja sebagai pembantu rumah selama hampir 16 tahun tanpa memiliki sebarang pas sah dan hanya dijanjikan gaji RM600 sebulan. Malangnya, beliau tidak menerima bayaran sejak dua tahun terakhir.
“Mangsa juga dilaporkan mengalami trauma akibat sering dimarahi dan dipukul, pasport dirampas serta dilarang menggunakan telefon atau pulang ke rumah keluarga. Waktu bekerja tanpa rehat memaksa beliau mencuri masa untuk tidur,” katanya.

Tambah beliau, seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 51 tahun yang merupakan majikan mangsa ditahan dan mengaku mendapatkan khidmat mangsa melalui ahli keluarga terdekat.
“Operasi ini menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan manusia berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 dan siasatan dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta 670.
“Kesalahan di bawah akta ini boleh membawa hukuman pemenjaraan seumur hidup atau minimum lima tahun, termasuk sebat bagi kesalahan yang lebih berat,” tegasnya.
JIM menasihati orang awam agar menyalurkan maklumat berkenaan eksploitasi warga asing supaya tindakan segera dapat diambil bagi membanteras jenayah pemerdagangan manusia.
Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA di talian 03-8880 1471 atau e-mel urusetia_p@imi.gov.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







