JENAYAH & MAHKAMAH

Pukul pembantu rumah, 2 pasangan suami isteri ditahan semula

CYBERJAYA – Dua pasangan suami isteri yang sebelum ini direman sehari bagi membantu siasatan kes pukul pembantu rumah di Tampoi, Johor ditahan semula awal pagi tadi.

Menurut HM Online, empat suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun itu ditahan pukul 1.30 pagi, susulan laporan daripada dua lagi wanita warga asing yang dipercayai bekas pembantu rumah mereka.

Dua wanita itu yang sebelum ini dicari polis bersama pembantu rumah dalam satu video yang tular, masing-masing membuat laporan di IPD Johor Bahru Selatan dan IPD Johor Bahru Utara selepas dibawa pihak Kedutaan Indonesia dari Kuala Lumpur.

Peguam Mohd Daud Ismail yang mewakili pihak kedutaan berkata, beliau hadir ke Mahkamah Johor Bahru bagi menjadi peguam pemerhati untuk proses permohonan reman terhadap semua suspek.

Katanya, Majistret Chai Ing Hien membenarkan semua suspek direman empat hari berkuat kuasa hari ini.

Kes itu disiasat kerana sengaja menyebabkan kecederaan, ugutan jenayah, menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap mana-mana individu dengan niat untuk mencabul kehormatan dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Kelmarin, Konsulat Jeneral Indonesia di Johor Bahru memaklumkan bahawa pihaknya menyediakan perlindungan sementara kepada dua pembantu rumah warga Indonesia selepas mereka didakwa didera oleh majikan masing-masing.

Jurucakap konsulat berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kes itu pada 13 Jun oleh seorang warga Indonesia yang dikenali sebagai YY, yang membuat aduan berhubung dakwaan penderaan fizikal terhadap dirinya dan dua lagi individu yang dikenali sebagai YA dan SH.

Penderaan yang didakwa berlaku itu dipercayai berlaku pada penghujung 2025 dan Januari tahun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button