JENAYAH & MAHKAMAH

‘Saya tiada musuh, tak berhutang along, tak ganggu isteri orang’ – YouTuber bola sepak diserang

PETALING JAYA – YouTuber dan pengkritik bola sepak tempatan, Azizurrahman Zakaria atau dikenali sebagai Joe Zakaria, mendakwa tiada permusuhan dengan mana-mana pihak selepas diserang dua lelaki tidak dikenali di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, di sini.

Azizurrahman berkata, beliau tidak mengetahui punca sebenar serangan itu dan menafikan mempunyai sebarang masalah peribadi termasuk hutang dengan pemberi pinjaman tidak berlesen atau konflik dengan individu tertentu.

“Saya tiada permusuhan dengan sesiapa, tidak berhutang dengan along, tidak mengganggu isteri orang atau mempunyai masalah samseng jalan raya,” memetik HM online.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika beliau sedang mengisi angin tayar kenderaan sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal Yamaha LC.

“Kedua-dua individu terbabit kemudian bertindak memukul dan menendangnya beberapa kali sebelum salah seorang daripada mereka merakam kejadian berkenaan.

“Saya sedang mengisi angin kereta apabila tiba-tiba datang dua lelaki yang menendang kepala dan memukul saya tanpa henti,” katanya lagi.

Azizurrahman berkata, seorang individu yang berada di lokasi cuba membantunya ketika kejadian berlaku.

Beliau turut mendakwa salah seorang penyerang merakam video sambil menuduhnya mencuri sebelum kedua-dua suspek meninggalkan lokasi.

Susulan serangan itu, Azizurrahman mengalami kecederaan termasuk keretakan tulang rongga mata selain luka pada kaki dan tangan.

Beliau berkata, laporan polis sudah dibuat dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 7.56 malam Sabtu lalu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa didatangi dua lelaki sebelum dipukul berkali-kali dan kejadian itu turut dirakam.

“Mangsa mengalami patah tulang pada bahagian mata serta beberapa kecederaan lain, manakala motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Polis kini giat mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Rakaman kejadian yang tular di media sosial menunjukkan mangsa dipukul beberapa kali sebelum orang awam tampil membantu meleraikan serangan tersebut.

Azizurrahman yang menggunakan nama Joe Zakaria menerusi saluran YouTube Joe Zakaria (YTSK) aktif menghasilkan kandungan berkaitan jersi, kasut bola serta berkongsi pandangan mengenai isu semasa bola sepak tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button