JBPM Sarawak tingkat kesiapsiagaan, kerah aset udara tangani lonjakan kebakaran terbuka
KUCHING – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi melalui pengarahan aset darat dan udara susulan peningkatan kes kebakaran terbuka ekoran cuaca panas ekstrem akibat fenomena Super El Nino.
Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata, strategi operasi dan persiapan rapi telah digerakkan lebih awal bagi mendepani risiko peningkatan kebakaran sepanjang musim kering ini.
Beliau berkata, fokus utama adalah memperkukuh kesiapsiagaan anggota serta mengoptimumkan aset di lokasi titik panas dan kawasan baharu yang dikesan berisiko tinggi.
“Berdasarkan analisis serta pemantauan berterusan bermula 1 Julai 2026, rekod menunjukkan berlaku peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka dalam tempoh tiga hari lalu iaitu pada 10, 11 dan 12 Julai.
“Setakat ini, Bahagian Kuching dan Miri merekodkan jumlah kes kebakaran terbuka tertinggi berbanding bahagian lain di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Jamri berkata, situasi keseluruhan masih berada pada tahap terkawal dan stabil, namun keadaan boleh berubah sekiranya masyarakat terus melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas berpanjangan.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai menghentikan aktiviti pembakaran terbuka sepanjang tempoh cuaca panas, selain memaklumkan JBPM Sarawak akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Natural Resources and Environment Board (NREB) bagi tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang melanggar peraturan.
Sementara itu, Jamri berkata, satu kebakaran hutan dilaporkan berlaku di Taman Negara Niah sejak semalam dipercayai berpunca daripada sambaran petir yang menyebabkan pokok di kawasan puncak bukit batu kapur terbakar.
Operasi pemadaman berdepan cabaran berikutan lokasi sukar diakses, menyebabkan bantuan Unit Udara Bomba dari Miri digunakan menerusi kaedah water bombing bagi mengawal kebakaran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








