Sindiket penyeludupan warga asing Pade Ajak tumpas di Kuala Selangor
KUALA SELANGOR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan warga asing dikenali sebagai “Pade Ajak” melalui siri serbuan di beberapa lokasi sekitar Kuala Selangor kelmarin.
Operasi dijalankan hasil risikan dan maklumat awam sebelum tindakan diambil.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis yang dijadikan lokasi transit warga asing sebelum diseludup keluar ke Indonesia secara haram.

“Premis itu beroperasi di sebalik kedai runcit dan kedai makan, lengkap dengan tempat tinggal, bilik air dan dapur.
“Operasi ini berjaya menahan sembilan warga Indonesia dan dua transporter serta merampas sebuah kenderaan yang digunakan untuk mengangkut migran.
“Tindakan tegas seperti ini menunjukkan komitmen JIM dalam membanteras sindiket penyeludupan migran,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, serbuan kedua dijalankan di sebuah rumah teres dua tingkat berhampiran lokasi pertama, membawa kepada penahanan enam warga Indonesia dan dua penjaga rumah, masing-masing seorang wanita warganegara Indonesia dan seorang lelaki warganegara Nepal.
“Menurut siasatan awal, semua mangsa ditempatkan sementara di premis berkenaan sebelum diseludup keluar melalui laluan laut tidak sah di sekitar perairan Kuala Selangor.
“Kebanyakan mereka mengaku menggunakan khidmat sindiket melalui media sosial.
“Seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 36 tahun yang disyaki dalang utama sindiket turut ditahan bersama sebuah kenderaan Perodua Alza dan sejumlah wang tunai dipercayai hasil bayaran migran,” ujarnya lagi.

Menurut Zakaria, sindiket “Pade Ajak” aktif sejak awal tahun 2023, menggunakan ejen di Malaysia dan dalang utama di Indonesia.
“Sindiket menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan keluar migran secara tidak sah melalui media sosial dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,100 bagi setiap individu dan keuntungan keseluruhan dianggarkan mencecah RM504,000,” katanya.
JIM kini mengesan pemilik premis warga tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket tersebut.
Individu terbabit akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].
“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang,” tegasnya.
JIM juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








