KWSP, JIM bekerjasama perkukuh pelaksanaan caruman mandatori pekerja asing
PUTRAJAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeterai Nota Kerjasama Strategik dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memperkukuh pelaksanaan caruman mandatori KWSP untuk pekerja bukan warganegara sekali gus meningkatkan pematuhan majikan terhadap ketetapan undang-undang.
Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata, kerjasama berkenaan adalah komponen penting dalam memastikan setiap majikan mematuhi peruntukan Akta KWSP 1991 terutama melibatkan pekerja asing yang sah bekerja di negara ini.
“Melalui kolaborasi ini, KWSP dan JIM dapat mengesahkan status pekerja dengan lebih berkesan, memperkukuhkan ketelusan dan mempercepat proses pendaftaran pekerja bukan warganegara.
“Ia adalah langkah penting dalam memastikan pelaksanaan caruman mandatori dipatuhi secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan ketika Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.
KWSP diwakili Sazaliza manakala JIM oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban. Ia turut disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Sazaliza, integrasi sistem antara KWSP dan Imigresen membolehkan perkongsian data yang lebih tepat dan selamat melibatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Penggajian serta pas sah lain yang memberi kebenaran bekerja di Malaysia.
“Melalui pengukuhan sistem dan aliran data ini, proses verifikasi dapat dilakukan dengan lebih cekap, apatah lagi menjelang penguatkuasaan penuh caruman mandatori pada 1 Oktober 2025.
“Pendekatan ini dijangka meningkatkan ketegasan pematuhan, memastikan setiap majikan melaksanakan tanggungjawab statutori dengan teratur,” katanya.
Setakat ini, seramai 1.3 juta pekerja bukan warganegara telah mencarum melalui kira-kira 60,000 majikan, satu perkembangan positif yang menunjukkan kesedaran semakin meningkat.
Bagaimanapun katanya, masih wujud majikan yang gagal mematuhi keperluan caruman sekali gus menjejaskan perlindungan sosial pekerja masing-masing.
Sazaliza menegaskan majikan yang belum membuat caruman perlu berbuat demikian segera bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Bagi memastikan caruman dikreditkan dengan tepat, majikan turut diingatkan menyediakan maklumat lengkap pekerja seperti nama penuh, nombor pasport dan nombor ahli KWSP.
Pendaftaran majikan boleh dilakukan secara dalam talian atau di mana-mana pejabat KWSP, manakala pekerja asing dengan PLKS atau Pas Penggajian akan didaftarkan secara automatik tanpa perlu hadir ke pejabat.
Semakan status pendaftaran boleh dilakukan melalui i-Akaun (majikan), manakala pemegang pas lain perlu membuat pendaftaran atau kemas kini maklumat di pejabat KWSP. Semua pekerja juga disarankan melengkapkan pendaftaran cap ibu jari mulai Januari 2026.
Beliau berkata, kerjasama antara KWSP dan JIM menandakan komitmen berterusan ke arah tadbir urus yang lebih berintegriti dengan manfaat jangka panjang kepada majikan, pekerja serta keseluruhan ekosistem penggajian negara.
Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan caruman mandatori pekerja bukan warganegara boleh didapati melalui laman web rasmi KWSP.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








