Dividen KWSP 2025 diumum Sabtu ini, pasaran dijangka sekitar 6 peratus
KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijadual mengumumkan kadar dividen bagi tahun kewangan 2025 pada Sabtu ini.
Pengumuman itu bakal diadakan sempena satu taklimat khas bersama media yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn.
Penganalisis ekonomi menjangkakan kadar dividen tahun ini kekal kompetitif, sekitar enam peratus, didorong prestasi pelaburan yang memberangsangkan sepanjang tahun lalu.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid meramalkan kadar dividen bagi Simpanan Konvensional berada dalam lingkungan 5.8 hingga 6.3 peratus, manakala Simpanan Syariah antara 5.5 hingga enam peratus.
Beliau berkata, unjuran positif itu disokong oleh jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, sekali gus meletakkan KWSP di landasan kukuh untuk mengekalkan prestasi cemerlang seperti tahun sebelumnya.
“Jika dibandingkan, pendapatan pelaburan bagi tempoh sama pada 2024 adalah RM57.57 bilion.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus, dipacu pencapaian kukuh pada suku ketiga,” katanya.
Untuk rekod, kadar dividen KWSP bagi tahun 2024 bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah adalah 6.3 peratus, yang merupakan kadar tertinggi dicatatkan sejak 2017.
Sehingga 30 September 2025, jumlah aset pelaburan KWSP mencecah RM1.37 trilion, meningkat 12 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, mencerminkan pengurusan portfolio yang berdaya tahan dalam persekitaran pasaran mencabar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








